GENEVA, 2 September – Gergasi makanan Switzerland, Nestle pada Isnin mengumumkan pemecatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Laurent Freixe serta-merta berikutan hubungan romantik tidak didedahkan dengan seorang kakitangan bawahan.
Dalam kenyataan, syarikat pengeluar kapsul kopi Nespresso dan coklat KitKat itu memaklumkan tindakan berkenaan dibuat selepas siasatan dalaman dijalankan.
Sebagai langkah segera, Lembaga Pengarah Nestle melantik Ketua Pegawai Eksekutif Nespresso, Philipp Navratil untuk mengambil alih jawatan tersebut.
“Pemergian Laurent Freixe adalah susulan siasatan terhadap hubungan romantik yang tidak didedahkan dengan kakitangan bawahan, sekali gus melanggar kod tatakelakuan perniagaan Nestle,” menurut kenyataan itu.
Lembaga Pengarah turut menjelaskan, siasatan berkenaan dijalankan di bawah penyeliaan Pengerusi Paul Bulcke dan Pengarah Bebas Utama Pablo Isla dengan sokongan penasihat undang-undang luar.
“Ia adalah keputusan yang perlu dibuat. Nilai serta tadbir urus Nestle merupakan asas kukuh syarikat ini. Saya berterima kasih kepada Laurent atas khidmat beliau selama ini,” kata Bulcke dalam kenyataan berasingan.-AFP
