fb fb fb fb fb

Belgium umum iktiraf Negara Palestin di Perhimpunan Agung PBB

Foto Fail AFP

BRUSSELS, 3 September – Belgium akan mengiktiraf Negara Palestin semasa sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadualkan berlangsung pada September ini, kata Menteri Luar Belgium, Maxime Prévot.

Beliau berkata keputusan itu dibuat, susulan tragedi kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, dengan serangan Israel telah menyebabkan majoriti penduduk hilang tempat tinggal dan PBB telah mengisytiharkan kebuluran di kawasan tersebut.

“Palestin akan diiktiraf oleh Belgium pada sesi PBB! Dan sekatan tegas sedang dikenakan ke atas kerajaan Israel,” tulis beliau menerusi platform media sosial X.

“Dalam menghadapi keganasan yang dilakukan oleh Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa, memandangkan kewajipan antarabangsanya, termasuk kewajipan untuk mencegah sebarang risiko pembunuhan beramai-ramai, Belgium perlu mengambil keputusan tegas untuk meningkatkan tekanan ke atas Israel dan Hamas,” tulisnya.

Langkah Belgium itu juga diumumkan susulan kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Julai lalu yang menyatakan bahawa Perancis juga akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada Mesyuarat PBB yang bakal berlangsung dari 9 hingga 23 September di New York.

Negara-negara Barat lain turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah serupa.

Tambah beliau, keputusan itu bukan bertujuan untuk menghukum rakyat Israel, sebaliknya sebagai satu usaha memastikan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, serta untuk mendorong perubahan terhadap situasi semasa di lapangan.

ROSLINA BINTI DIN