fb fb fb fb fb

Israel sasar kediaman, lagi 13 penduduk Gaza terkorban

Foto REUTERS

GAZA 2 September – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah pangsapuri dan bangunan kediaman di Gaza.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal, menerusi kenyataan kepada AFP berkata pesawat Israel menyerang tingkat atas sebuah bangunan kediaman di barat daya bandar Gaza dan mengorbankan 10 orang.

Beliau berkata dalam serangan berasingan, helikopter tentera Israel turut menyasarkan sebuah pangsapuri di bahagian barat bandar itu dan mengakibatkan tiga kematian serta beberapa orang lagi cedera.

Tentera Israel giat membuat persiapan untuk melancarkan serangan bagi menawan Kota Gaza, pusat bandar terbesar di wilayah Palestin, dengan lebih banyak pengeboman sejak beberapa hari lalu, selain amaran pemindahan segera turut dikeluarkan kepada penduduk di kawasan terjejas.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan hampir satu juta penduduk mendiami Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya, yang kini turut diisytiharkan sebagai kawasan berdepan krisis kebuluran.

Operasi ketenteraan Israel tanpa henti telah mengorbankan sekurang-kurangnya 63,557 rakyat Palestin, majoritinya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.- AFP

ROSLINA BINTI DIN