fb fb fb fb fb

Vietnam rai ulang tahun ke-80 kemerdekaan

Foto AFP

HANOI, 2 September – Vietnam menyambut ulang tahun ke-80 pengisytiharan kemerdekaan hari ini dengan perarakan ketenteraan terbesar dalam tempoh beberapa dekad, pengagihan bantuan tunai dan pengumuman pengampunan kepada hampir 14,000 banduan.

Puluhan ribu rakyat berpakaian merah dan mengibarkan bendera Vietnam membanjiri jalan-jalan utama di ibu kota Hanoi, dengan semangat patriotik.

Perarakan itu mempamerkan kelengkapan ketenteraan tercanggih Vietnam, termasuk pelbagai jenis kereta kebal, peluru berpandu, helikopter dan jet pejuang.

Ribuan anggota tentera Vietnam serta perwakilan tentera dari China, Rusia dan beberapa negara lain turut mengambil bahagian.

Semasa merasmikan acara itu, Ketua Parti Komunis Vietnam, To Lam menegaskan Vietnam teguh mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

"Kami tidak berbelah bahagi dalam komitmen kami untuk mempertahankan kemerdekaan, kebebasan, kedaulatan, dan keutuhan wilayah Tanah Air kami, hingga ke setiap inci tanah suci", katanya semasa majlis perasmian acara tersebut.

“Keazaman ini berteraskan kekuatan bersatu negara kita, politik, ekonomi, budaya, saintifik, teknologi, ketenteraan, diplomatik, dan lebih-lebih lagi, kehendak rakyat kita,” tambahnya.

Perarakan itu berlangsung di Dataran Ba Dinh, lokasi bersejarah pemimpin revolusi Ho Chi Minh mengisytiharkan kemerdekaan Vietnam pada 2 September 1945, selepas hampir satu abad di bawah penjajahan Perancis serta pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-80, kerajaan Vietnam pada minggu lalu mengumumkan pemberian tunai sebanyak 100,000 dong (AS$3.80) kepada setiap daripada 100 juta rakyatnya, menerusi pakej luar biasa yang dijangka menelan belanja sehingga AS$380 juta.

Dalam pada itu, Presiden Luong Cuong turut mengumumkan pengampunan besar-besaran melibatkan 13,920 banduan, termasuk 66 warga asing, yang akan dibebaskan lebih awal daripada tempoh hukuman asal mereka.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN