KHARTOUM, 2 September – Lebih 1,000 penduduk terkorban dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Darfur, barat Sudan.
Pergerakan/Pasukan Pembebasan Sudan (SLM/A) menrusi kenyataan berkata insiden tragis itu berlaku selepas hujan lebat beberapa hari melanda kawasan pergunungan Marra, yang menenggelamkan keseluruhan perkampungan Tarasin.
“Maklumat awal menunjukkan semua penduduk kampung terkorban, dianggarkan lebih 1,000 orang, dengan hanya seorang yang dilaporkan terselamat,” menurut kenyataan itu.
Tanah runtuh yang digambarkan sebagai 'besar dan menghancurkan' itu telah meratakan seluruh kampung dan memusnahkan sepenuhnya sebahagian kawasan yang sebelum ini terkenal dengan pengeluaran buah sitrus.
SLM/A turut merayu Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa lain supaya membantu dalam operasi mencari dan mengurus mayat mangsa tragedi.
Negara Sudan sedang bergelut dengan peperangan saudara yang berlarutan masuk tahun ketiga, sekali gus menjadikan Darfur antara wilayah yang paling terjejas dengan krisis kemanusiaan terburuk di dunia, termasuk pengisytiharan kebuluran di beberapa bahagian wilayah itu.
Ketegangan turut meningkat di Darfur sejak tentera Sudan menguasai ibu negara Khartoum pada Mac lalu, dengan pertempuran semakin sengit terutama di kawasan El-Fasher.