(FOTO AFP)
TOYOOKA, 23 Januari- Seekor sotong bersaiz 'gergasi' berjaya dirakam oleh sepasang suami isteri ketika melakukan aktiviti skuba di perairan pantai barat Jepun, baru-baru ini.
Yosuke Tanaka dan isterinya, Miki Tanaka yang menjalankan perniagaan aktiviti skuba memberitahu, sotong berukuran sepanjang kira-kira 2.5 meter itu dijumpai dalam keadaan pasif dengan berenang agak pelahan serta kulitnya agak mengelupas.
Namun, kedua-dua mereka masih berhati-hati dengan berenang tidak terlalu hampir dengan haiwan berkenaan susulan percaya ia memiliki kekuatan yang luar biasa pada sesunggutnya.
"Tidak dapat saya bayangkan bagaimanapun sotong ini berhadapan dengan ikan paus yang merupakan antara pemangsa utamanya.
"Ia pasti kerana kekuatan sesunggutnya yang menjadi sistem pertahanan," kata Yosuke.
Dalam pada itu, Miki memberitahu, selain saiz tubuhnya, mata sotong berkenaan yang besar sangat menarik perhatian.
"Ia sangat mengujakan. Pengalaman bertentang mata dengan haiwan sebesar itu sangat luar biasa," katanya.
Sotong bersaiz 'gergasi' diketahui hidup di perairan sekitar Jepun dan amat sukar ditemukan dalam keadaan hidup.
Bagaimanapun, bangkainya pernah beberapa kali dijumpakan terdampar di persisir pantai. -AFP
(FOTO AFP)