TOKYO, 14 April- Sony Jepun berkata ia telah menaikkan harga beberapa konsol PlayStation 5 (PS5) di pasaran terpilih, tetapi tidak di Amerika Syarikat (AS) berikutan ekonomi global "mencabar".
Harga edisi digital PS5, yang tidak mempunyai pemacu cakera dijangka meningkat lebih 10 peratus di Eropah, Britain dan Australia.
Syarikat itu menerusi hantaran blog memaklumkan ia "keputusan sukar" dan diambil "dengan latar belakang persekitaran ekonomi yang mencabar, termasuk inflasi yang tinggi dan kadar pertukaran yang tidak menentu."
Ia berlaku selepas tarif berterusan Presiden AS Donald Trump yang telah menjejaskan pasaran global dan mencetuskan perang perdagangan tit-for-tat dengan China sekali gus meningkatkan kebimbangan kelembapan ekonomi lebih meluas.
Pelanggan di New Zealand turut terkesan dengan kenaikan harga edisi digital PS5 meningkat. Ia turut memberi kesan ke atas harga PS5 standard dengan pemacu Blu-ray di Australia dan New Zealand.
Dalam pada itu syarikat berkenaan turut memaklumkan bahawa beberapa kenaikan dijangka berlaku di rantau Asia Barat dan Afrika.
Menurut Sony semua harga berkuat kuasa pada Isnin dan kos konsol PS5 Pro akan dijual pada harga lebih tinggi, dengan spesifikasi lebih baik. Ia dijangka berada di pasaran pada November depan.
PlayStation 5 telah dikeluarkan pada tahun 2020, namun versi Pro mememberikan pengalaman permainan video lebih menarik kepada pemain disokong dengan grafik yang lebih baik.
Menurut PlayStation, di Eropah, edisi digital PS5 kini berharga €499.99 ($570.04),manakala di Britain harganya ialah £429.99 ($566.53).- AFP