fb fb fb fb fb

Indonesia pertimbang tingkat import AS, usaha rundingan tarif

Airlangga Hartarto/ AFP

JAKARTA, 14 April- Indonesia sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan import Amerika Syarikat (AS) dalam usaha mengecilkan lebihan dagangannya dengan negara itu sebagai sebahagian daripada rundingan akan datang dengan Washington, demikian dinyatakan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto.

Tarif 32 peratus yang dikenakan ke atas Indonesia menjadikan Indinesia antara negara Asia yang paling terjejas akibat tindakan Presiden AS Donald Trump yang menyebabkan gelombang kejutan traif di seluruh dunia.

Menerusi data pejabat perwakilan perdagangan AS menunjukkan defisit perdagangan barangan Washington dengan Jakarta berjumlah $17.9 bilion pada 2024, meningkat 5.4 peratus setahun.

"Indonesia akan membeli barangan dari Amerika mengikut keperluan Indonesia," kata Airlangga kepada pemberita pada Isnin.

Beliau memaklumkan minggu lalu, Jakarta membeli lebih banyak produk seperti gas asli cecair dan gas petroleum cecair untuk merapatkan jurang dengan kuasa ekonomi AS yang merupakan salah satu rakan dagangan utama Indonesia.

Airlangga berkata beliau dan pegawai tinggi Indonesia yang lain, termasuk Menteri Luar Sugiono dan Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati, akan ke Washington untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan mereka di AS dari 16 hingga 23 April.

Mereka akan mengadakan perbincangan dengan ahli penting pasukan Trump, termasuk Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio.

"Indonesia adalah salah satu negara yang mendapat peluang pertama dijemput ke Washington," kata Airlangga.

Sementara itu menurut Menteri Kewangan Sri Mulyani, minggu lalu Indonesia melaraskan cukai import ke atas beberapa komoditi daripada 2.5 peratus kepada 0.5 peratus, termasuk telefon bimbit dan komputer riba.

Produk lain, termasuk keluli dan peralatan perubatan AS, akan diberikan duti import yang lebih rendah iaitu sifar hingga lima peratus, turun daripada lima hingga 10 peratus, tambahnya.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI