fb fb fb fb fb

Sokongan meningkat terhadap hukuman mati di Singapura

FOTO HIASAN

SINGAPURA, 20 September- Tinjauan yang ditugaskan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura baru-baru ini menunjukkan peningkatan sokongan dalam kalangan penduduk terhadap hukuman mati bagi kes jenayah "paling serius" seperti pembunuhan dan penyeludupan dadah dalam jumlah yang besar.

MHA berkata tinjauan 2023 mendapati 77.4 peratus daripada kira-kira 2,000 responden berumur 15 tahun ke atas sangat bersetuju atau bersetuju bahawa hukuman mati harus dikenakan untuk jenayah paling serius, meningkat daripada 73.7 peratus dalam dapatan 2021.

Responden yang menyatakan persetujuan dalam tinjauan 2023 berpendapat hukuman mati dapat mencegah jenayah serius (41.5 peratus), jenayah berkenaan adalah serius dan membahayakan masyarakat (20.1 peratus), hukuman mati membantu mengekalkan keselamatan Singapura (13 peratus), dan hukuman tersebut adalah setimpal dengan jenayah paling serius (12.8 peratus).

Sebanyak 14.3 peratus responden bersikap neutral, dengan lebih separuh menyebut sebab-sebab seperti keutamaan terhadap hukuman berdasarkan budi bicara, keutamaan untuk pemulihan, dan kebimbangan terhadap hukuman yang tidak setimpal.

Minoriti kecil (8.3 peratus) tidak bersetuju atau sangat tidak bersetuju dengan penggunaan hukuman mati untuk jenayah paling serius, dengan kebanyakan mereka menyatakan alasan agar pesalah diberi peluang kedua (29.9 peratus).

Di bawah undang-undang Singapura, hukuman mati adalah mandatori bagi subset jenayah "paling serius", seperti penyeludupan dadah dalam jumlah besar, melepaskan atau cuba melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kecederaan fizikal (kesalahan senjata api), dan pembunuhan disengajakan.

Dalam tinjauan 2023, sebahagian besar responden sangat bersetuju atau bersetuju bahawa hukuman mati mandatori adalah wajar sebagai hukuman untuk kesalahan ini, dengan pembunuhan sengaja menjadi kesalahan yang menerima tahap persetujuan tertinggi.

"Peratusan responden yang sangat bersetuju atau bersetuju bahawa hukuman mati mandatori adalah hukuman yang sesuai untuk kesalahan-kesalahan ini adalah lebih tinggi daripada tinjauan 2021, dan peningkatan itu adalah signifikan dari segi statistik," menurut laporan tinjauan yang dikeluarkan pada Khamis.

Sementara itu, purata 89.4 peratus responden sangat bersetuju atau bersetuju bahawa hukuman mati menghalang pembunuhan, kesalahan senjata api, dan kesalahan penyeludupan dadah di negara ini.

Purata 83.6 peratus juga sangat bersetuju atau bersetuju bahawa pemansuhan hukuman mati mungkin akan meningkatkan jumlah pembunuhan, kesalahan senjata api, atau jumlah dadah yang diseludup ke Singapura.

Selain itu, kebanyakan responden (88.7 peratus) yakin bahawa sistem keadilan jenayah Singapura mampu memastikan bahawa orang yang dituduh dalam kes hukuman mati menjalani siasatan dan perbicaraan yang adil serta teliti.

Sebanyak 84.3 peratus juga percaya bahawa sistem keadilan jenayah Singapura mempunyai langkah perlindungan yang mencukupi untuk mengelakkan pelaksanaan hukuman yang salah. - BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA