fb fb fb fb fb

Sistem perbankan AS selamat - Biden

(FOTO REUTERS)

WASHNGTON, 3 Mac - Presiden Joe Biden cuba meyakinkan rakyat Amerika Syarikat bahawa sistem perbankan negara masih selamat walaupun dengan kejatuhan Silicon Valley Bank (SVB).

Beliau bagaimanapun mahukan peraturan yang lebih ketat bagi mengelakkan krisis masa depan.

"Rakyat Amerika boleh mempunyai keyakinan bahawa sistem perbankan adalah selamat. Deposit anda akan ada apabila anda memerlukannya," kata Biden dalam kenyataan televisyen dari White House selepas kegagalan SVB dan pengambilalihan bank kedua oleh persekutuan.

Walaupun kerajaan memastikan pendeposit SVB mendapatkan kembali wang mereka, "tiada kerugian akan ditanggung oleh pembayar cukai," kata Biden.

"Wang itu akan datang daripada yuran yang bank bayar ke dalam insurans deposit."

Biden dalam pada itu mencabar Kongres supaya menggubal peraturan yang lebih ketat sambil mendakwa bahawa perlindungan "ketat" yang dikuatkuasakan selepas kejatuhan kewangan 2008 telah dibatalkan bawah pentadbiran Donald Trump daripada parti Republikan.

"Saya akan meminta Kongres dan pengawal selia perbankan agar mengukuhkan peraturan bagi bank untuk mengurangkan kemungkinan kegagalan bank seperti ini berlaku lagi," kata Biden.

Berdasarkan laporan media, pengawal selia negeri AS juga telah menutup Signature Bank yang berpangkalan di New York dua hari selepas pihak berkuasa menutup SVB. -AFP


(Biden berkata sistem perbankan AS selamat AFP)

Media Baharu