fb fb fb fb fb

Serbuan Israel di Tebing Barat, dua rakyat Palestin ditahan

Foto WAFA

TULKARM, 4 Februari- Dua rakyat Palestin, termasuk seorang pemuda yang cedera, ditahan tentera Israel di Tulkarm, pada Isnin.

Memetik laporan agensi berita Palestin (WAFA), operasi berkenaan turut menghalang usaha perubatan di kawasan tersebut.

"Tentera Israel menyerbu sebuah rumah di bandar Dhinnaba, timur Tulkarm sebelum menahan seorang pemuda berusia 25 tahun.

"Tentera Israel juga menahan seorang lelaki cedera di jabatan kecemasan Hospital Kerajaan Martyr Thabet Thabet. Walaupun dalam keadaan kritikal, tentera Israel menyerbu bilik kecemasan hospital, menyiasat sebelum menahan mangsa," lapor WAFA.

Selain itu, seorang wanita Palestin yang menemani pesakit di ambulans turut ditahan tentera Israel di pintu masuk hospital yang sama, sebelum dilepaskan selepas disoal siasat.

Hospital Kerajaan Thabet Thabet dan Hospital Pakar Al-Israa yang berdekatan dikenakan sekatan ketat, dengan tentera Israel menghalang ambulans dan menghalang petugas perubatan daripada memberikan perkhidmatan kepada penduduk.

Menurut wartawan WAFA, tentera Israel meneruskan serbuan mereka ke rumah-rumah rakyat Palestin, merosakkan harta benda dan memaksa penduduk berpindah dengan kekerasan di bawah ancaman senjata.

Tentera Israel juga merampas banyak rumah dan bangunan di sekitar kem serta menjadikannya sebagai markas tentera.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM