fb fb fb fb fb

Rubio jumpa Presiden El Salvador, bincang isu pendatang

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berbincang dengan Menteri Luar El Salvador, Alexandra Hill Tinoco, sebaik tiba di lapangan terbang antarabangsa di San Luis Talpa, El Salvador / Foto REUTERS

SAN SALVADOR, 4 Februari- Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, bertemu dengan Presiden El Salvador, Nayib Bukele, pada Isnin dalam lawatan yang bertujuan untuk meyakinkan negara-negara Amerika Latin agar mengambil langkah lebih tegas dalam mengawal penghijrahan pendatang ke sempadan selatan AS.

Rubio bertemu Bukele dan Menteri Luar El Salvador di kediaman Bukele yang terletak di Tasik Coatepeque, berdekatan ibu negara San Salvador.

Pentadbiran Presiden Donald Trump melihat Bukele sebagai sekutu utama dalam usaha menangani migrasi di rantau tersebut.

Presiden El Salvador itu telah melancarkan tindakan keras terhadap jenayah di negaranya apabila menahan lebih 80,000 orang dan berjaya mengurangkan kadar pembunuhan secara drastik.

Washington mengaitkan dasar Bukele itu dengan pengurangan jumlah rakyat El Salvador yang cuba memasuki AS secara haram.

Rubio, bekas senator AS dari Florida, berkata bahawa beliau telah mengenali Bukele sejak sekian lama dan memuji usaha beliau dalam menyediakan keselamatan dan kestabilan.

Sejak mengambil alih jawatan pada 20 Januari, pentadbiran Trump telah meningkatkan jumlah migran yang dihantar pulang ke negara-negara Amerika Latin, termasuk menggunakan pesawat tentera untuk penerbangan repatriasi.

Pada Isnin, Rubio memulakan lawatannya di Panama dan menyaksikan 43 migran dari Colombia yang telah menyeberangi Darien Gap dalam perjalanan ke AS menaiki penerbangan khas Air Panama untuk pulang semula ke Colombia.

Rubio, telah mengarahkan Jabatan Negara AS untuk memberi keutamaan kepada pemberhentian migrasi besar-besaran, berkata pemulangan migran ke negara asal mereka dapat menghalang lebih ramai orang daripada cuba berhijrah.

"Ia tidak baik untuk sesiapa pun. Satu-satunya pihak yang mendapat manfaat daripada migrasi besar-besaran ialah sindiket penyeludupan manusia," kata Rubio kepada wartawan.

Beliau memuji program penghantaran pulang migran yang dipersetujui pada Julai antara Panama dan pentadbiran AS terdahulu di bawah Presiden Joe Biden, yang menurutnya telah mengurangkan penghijrahan melalui Darien Gap sebanyak 90%.

Presiden Trump telah mengeluarkan arahan pembekuan bantuan luar AS selama 90 hari dengan beberapa pengecualian terhad.

Rubio berkata pengecualian khas perlu dikeluarkan bagi membolehkan penerbangan penghantaran pulang pada Isnin dan bahawa beliau akan mengeluarkan pengecualian lebih luas untuk meneruskan program tersebut.

"Ini adalah contoh program bantuan luar yang membantu menjadikan Amerika lebih kuat, lebih selamat, dan lebih makmur," kata Rubio.

Pada Ahad, Rubio turut mengadakan perbincangan dengan pegawai Panama mengenai kehadiran China di sekitar Terusan Panama serta isu migrasi.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD