fb fb fb fb fb

Pemindahan penduduk Palestin : Negara Arab hantar surat bantahan kepada AS

Seorang warga Palestin membawa silinder gas memasak, di tengah-tengah gencatan senjata antara Hamas dan Israel, di Bandar Gaza / Foto REUTERS

WASHINGTON, 4 Februari- Lima Menteri Luar Arab serta seorang pegawai kanan Palestin telah menghantar surat kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, bagi membantah cadangan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza.

Cadangan itu dikemukakan oleh Presiden Donald Trump pada Januari lepas.

Surat tersebut dihantar pada Isnin dan ditandatangani oleh menteri luar Jordan, Mesir, Arab Saudi, Qatar, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta penasihat presiden Palestin, Hussein al-Sheikh.

Menurut laporan Axios, para diplomat kanan berkenaan telah mengadakan pertemuan di Kaherah pada hujung minggu sebelumnya.

Pada 25 Januari lepas,Trump mencadangkan bahawa Jordan dan Mesir boleh menempatkan pelarian Palestin dari Gaza.

Apabila ditanya sama ada beliau melihat cadangan itu sebagai penyelesaian jangka panjang atau pendek, Trump berkata ia adalah salah satu daripada penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel.

Kenyataan Presiden AS itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin bahawa mereka akan diusir secara tetap dari tanah air mereka.

Pengkritik menyamakan cadangan itu dengan pembersihan etnik, sementara Jordan, Mesir, dan negara Arab lain menentang idea tersebut.

"Pembinaan semula Gaza harus dilakukan melalui penglibatan langsung dan penyertaan rakyat Gaza.

"Penduduk Palestin akan terus tinggal di tanah mereka dan membantu membangunkannya," menurut kandungan surat itu.

"Dan mereka tidak seharusnya dilucutkan hak dalam proses pembinaan semula kerana mereka mesti memiliki peranan dalam usaha ini dengan sokongan komuniti antarabangsa", tambah kandungan surat berkenaan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD