LONDON, 3 Februari- Negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan membincangkan cadangan pemotongan bajet sebanyak AS$400 juta, susulan keputusan Presiden Donald Trump menarik keluar Amerika Syarikat (AS) daripada organisasi itu.
Pada mesyuarat tahunan Lembaga Eksekutif WHO, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus mempertahankan peranan dan reformasi agensi tersebut serta sekali lagi menggesa AS mengubah keputusan dan berunding bagi membincangkan perubahan lanjut.
"Kami mengalu-alukan cadangan daripada Amerika Syarikat dan semua negara anggota, tentang bagaimana kami dapat berkhidmat dengan lebih baik kepada anda dan seluruh dunia," kata Tedros.
Cadangan pemotongan bajet itu akan dibincangkan dalam mesyuarat di Geneva dari 3 hingga 11 Februari, membincangkan agenda pembiayaan dan perancangan kerja WHO bagi tempoh 2026-2027.
"Dengan keluarnya penyumbang kewangan terbesar, bajet WHO tidak boleh diteruskan seperti biasa," menurut dokumen itu.
AS merupakan penyumbang kerajaan terbesar kepada WHO, menyumbang sekitar 18 peratus daripada keseluruhan pembiayaan organisasi.
WHO telah mula mengambil langkah penjimatan kos secara berasingan selepas keputusan AS untuk keluar.
Bagaimanapun, beberapa wakil lembaga eksekutif menegaskan bahawa WHO akan mengekalkan hala tuju strategiknya meskipun berdepan cabaran kewangan.- REUTERS