fb fb fb fb fb

Elon Musk umum penutupan USAID, demi penjimatan AS

Foto Reuters

WASHINGTON, 3 Februari- Jutawan Elon Musk, yang mengetuai usaha Presiden Donald Trump untuk mengecilkan saiz kerajaan Persekutuan, mengumumkan bahawa kerja-kerja sedang dijalankan untuk menutup Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).

Dalam sesi perbincangan di platform media sosial X pada Isnin, Musk, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX berkata USAID tidak boleh diperbaiki lagi dan Trump bersetuju bahawa agensi tersebut perlu ditutup.

Menurut laporan Reuters pada Ahad, pentadbiran Trump telah memecat dua pegawai keselamatan kanan USAID selepas menghalang wakil Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), yang diketuai Musk, daripada memasuki bangunan agensi itu.

USAID merupakan penyumbang bantuan asing terbesar di dunia.

Pada tahun fiskal 2023, agensi itu telah menyalurkan AS$72 bilion untuk pelbagai inisiatif termasuk kesihatan wanita di zon konflik, akses kepada air bersih, rawatan HIV/AIDS, keselamatan tenaga dan program anti-rasuah.

Tahun lalu, USAID menyumbang 42 peratus daripada keseluruhan bantuan kemanusiaan yang direkodkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Laman web rasmi USAID dilaporkan mengalami gangguan akses sejak Sabtu dan agensi yang mempunyai lebih 10,000 kakitangan itu kini berteka-teki dengan masa depan yang tidak menentu.

Trump sebelum ini telah membekukan sebahagian besar bantuan asing sebagai sebahagian daripada dasar "America First" yang dipeloporinya.

Ini sekali gus menyebabkan pelbagai program global terancam termasuk hospital medan di kem pelarian Thailand, usaha pembersihan periuk api di zon perang serta rawatan untuk pesakit HIV.

Musk turut menganggarkan bahawa pentadbiran Trump boleh mengurangkan defisit AS sebanyak AS$1 trilion tahun depan, menerusi pemotongan perbelanjaan dan penghapusan ketirisan dana kerajaan.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM