SEOUL, 18 Mei - Korea Utara pada Sabtu berkata ia telah melancarkan peluru berpandu balistik taktikal yang dilengkapi dengan sistem navigasi autonomi baharu dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan senjatanya.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menyelia ujian senjata itu pada Jumaat, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
"Ketepatan dan kebolehpercayaan sistem navigasi autonomi telah disahkan melalui ujian pelancaran ini," menurut laporan itu.
Tentera Korea Selatan pada Jumaat berkata pihaknya mengesan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat ditembak Korea Utara ke arah Laut Timur.
Peluru berpandu berkenaan terbang sejauh kira-kira 300 kilometer, menurut Ketua Turus Bersama.
Seorang penyelidik kanan di Forum Pertahanan dan Keselamatan dilaporkan berkata pelancaran terbaharu itu menandakan peningkatan jarak untuk senjata berpandu taktikal Korea Utara yang sebelum ini diketahui mempunyai jarak 100 hingga 110 kilometer.
Memandangkan jarak penerbangan misil sekitar 300 kilometer, Korea Utara mungkin telah menguji peluru berpandu itu dengan mengambil kira kemudahan ketenteraan utama di Korea Selatan.-REUTERS