MANILA, 18 Mei- Filipina akan berusaha mempertahankan hak miliknya, kata Presiden Ferdinand Marcos berhubung pertikaian antara Manila dengan Beijing mengenai Laut China Selatan yang semakin meruncing.
Kenyataan tersebut susulan beberapa insiden yang melibatkan kapal Filipina dan China berhampiran terumbu yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan yang telah menjejaskan hubungan diplomatik.
Beliau turut mengingatkan graduan negara itu untuk memastikan keselamatan rakyat sama ada di rumah, wilayah, selain mempertahan dari ancaman dan demokrasi yang stabil.
“Penceroboh yang tidak menghormati integriti wilayah kami, kami akan bersungguh-sungguh mempertahankan apa yang menjadi milik kami,” ujar Marcos semasa berucap dalam Majlis Graduasi pengajian Akademi Tentera Filipina, di Manila. Beliau bagaimanapun, tidak menyebut secara jelas mengenai China.
Kapal pengawal pantai China didakwa telah menggunakan meriam air terhadap kapal Filipina beberapa kali, sejak beberapa bulan kebelakangan ini di perairan yang menjadi pertikaian.
China menuntut hampir keseluruhan laut di perairan Laut China Selatan dan mengabaikan keputusan tribunal antarabangsa yang didakwanya tidak mempunyai asas undang-undang.
Ia mengerahkan bot untuk meronda di perairan yang sibuk dan membina pulau buatan untuk mengukuhkan tuntutannya.
Konvoi awam kapal Filipina menuju ke Beting Scarborough untuk membawa bahan api dan bekalan makanan untuk nelayan Filipina di kawasan itu, pada minggu ini. Namun, ia berpatah balik selepas salah satu bot itu 'diganggu' oleh kapal Tentera Laut China.
China mempertahankan tindakannya dengan mengatakan bahawa ia mengambil langkah yang perlu terhadap kapal yang dikatakan melanggar wilayahnya.
Marcos berkata tindakan Filipina akan sentiasa mengikut undang-undang dan bertanggungjawab sebagai masyarakat negara yang mematuhi peraturan.
Beliau berkata bahawa Manila tidak akan bertindak balas terhadap penggunaan meriam air terhadap kapalnya.-AFP