fb fb fb fb fb

Singapura zahir penghargaan kepimpinan Malaysia bendung krisis Thailand-Kemboja

Peranan aktif Malaysia dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau / Foto AFP

SINGAPURA, 9 Ogos - Pemimpin Singapura menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Malaysia dalam usaha membendung krisis di persempadanan antara Thailand dan Kemboja, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara itu disampaikan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dalam pertemuan berasingan bersama kedua-dua pemimpin pada Sabtu.

"Ini mengangkat peranan aktif Malaysia dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau ," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam rangka lawatan kerja dua hari bermula Sabtu dijadual menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura atas jemputan Kerajaan Singapura.

Dalam pertemuan secara berasingan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan dan rakyat Singapura atas sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata pertemuannya dengan Wong yang juga Menteri Kewangan memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala yang telah lama terjalin, termasuk projek-projek strategik yang berpotensi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam negara.

"Kami turut membincangkan kerjasama baharu dalam pelancongan, TVET, dan mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat sebagai asas persefahaman jangka panjang," katanya.

Kedua-dua pemimpin turut memperhalusi perbincangan untuk berkongsi amalan terbaik dalam memperkasa undang-undang berkaitan ekonomi gig, yang kini menjadi antara sektor penting di kedua-dua negara.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Singapura sedang meneliti perkara ini dari sudut perundangan dan dasar bagi memastikan pemain industri, khususnya pekerja gig, menerima perlindungan sewajarnya serta kebajikan mereka terjamin.

"Dalam konteks ini, saya juga berkongsi inisiatif Malaysia dalam menyokong pekerja gig melalui perlindungan sosial dan dasar progresif, sebagai sebahagian daripada usaha membina ekonomi digital yang berdaya saing," katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata dalam perbincangan bersama Gan, mereka sependapat tentang kepentingan memanfaatkan sepenuhnya potensi pasaran besar ASEAN bagi meningkatkan perdagangan dua hala.

"Saya turut menegaskan peranan Malaysia sebagai hab halal utama rantau ini, disokong oleh infrastruktur taman perindustrian halal, pensijilan bertaraf dunia serta kerjasama erat perdagangan di peringkat serantau," katanya.

Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri turut memaklumkan bahawa Singapura telah menghantar tenaga pengajar TVET ke Malaysia, selaras dengan komitmen bersama untuk memperkukuh kualiti dan memperkasa ekosistem TVET.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata perbincangan yang berlangsung pada Sabtu amat bermanfaat, penuh dengan idea dan peluang baharu yang berpotensi memperkukuh hubungan dua hala.

Beliau yakin hasil daripada pertemuan itu akan membuka lembaran kerjasama strategik yang lebih erat antara Malaysia dan Singapura, demi kelangsungan dan kemakmuran bersama sebagai dua negara bersaudara.

"Mudah-mudahan, segala yang dibincangkan hari ini akan diterjemahkan kepada tindakan yang membawa kebaikan besar kepada rakyat kedua-dua negara pada masa hadapan," katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengakhiri pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Singapura dengan sesi makan tengah hari bersama Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN