fb fb fb fb fb

Singapura umum pembubaran Parlimen, persediaan hadapi pilihan raya baharu

Foto Reuters

SINGAPURA, 15 April – Parlimen Singapura telah dibubarkan semalam bagi membuka laluan kepada satu pilihan raya umum yang dijangka berlangsung dalam tempoh tiga bulan, menurut kenyataan dalam Warta Kerajaan.

Pilihan raya itu merupakan ujian pertama buat Perdana Menteri Lawrence Wong selaku pemimpin baharu Parti Tindakan Rakyat (PAP), setelah mengambil alih kepimpinan daripada Lee Hsien Loong pada Mei 2024.

Seperti pilihan raya-pilihan raya sebelum ini, PAP dijangka terus mendominasi dan memenangi majoriti kerusi Parlimen, namun perhatian kini tertumpu kepada jumlah undi popular yang diperoleh parti itu.

Pada pilihan raya umum 2020, PAP mencatatkan salah satu prestasi terburuk dalam sejarahnya.

Pilihan raya kali ini dijangka berlangsung dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, susulan langkah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengenakan tarif baharu yang boleh memberi kesan kepada ekonomi Singapura yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

Pada Isnin, kerajaan Singapura telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonominya bagi tahun 2025 kepada antara 0 peratus hingga 2 peratus, berbanding unjuran asal antara 1 peratus hingga 3 peratus.

Dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini, populariti PAP semakin terhakis apabila parti pembangkang menunjukkan prestasi yang semakin kukuh.

Mereka berjaya memenangi enam kerusi Parlimen masing-masing pada tahun 2011 dan 2015, serta mencatat pencapaian tertinggi dengan 10 kerusi pada tahun 2020.

Pilihan raya kali ini turut menyaksikan pertambahan empat kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan 97 kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan.

Ahli Parlimen akan dipilih daripada 15 kawasan undi satu ahli (SMC) dan 18 kawasan undi berbilang ahli (GRC) yang mempunyai antara empat hingga lima wakil setiap satu.

Pada Februari lalu, Wong telah membentangkan belanjawan negara yang disifatkan oleh para penganalisis sebagai "belanjawan pilihan raya sepenuhnya", yang memperkenalkan pelbagai inisiatif dan insentif untuk semua rakyat Singapura menjelang hari pengundian.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN