fb fb fb fb fb

Letupan bom ragut tiga anggota polis di barat daya Pakistan

Foto bssnews.net

QUETTA, 15 April – Sekurang-kurangnya tiga anggota polis terbunuh manakala 16 lagi cedera dalam satu insiden letupan bom yang menyasarkan sebuah bas polis di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan, semalam.

Menurut pegawai pentadbiran daerah Mastung, Raja Muhammad Akram, kejadian berlaku apabila bas yang membawa kira-kira 40 anggota polis terkena letupan bom buatan sendiri (IED) di tepi jalan, kira-kira 40 kilometer di selatan ibu negeri wilayah itu, Quetta.

"Ia merupakan letupan IED di tepi jalan yang menyebabkan kematian tiga anggota polis dan mencederakan 16 yang lain," katanya kepada Agence France-Presse (AFP).

Jurucakap kerajaan wilayah, Shahid Rind, turut mengesahkan jumlah korban dan memaklumkan bahawa dua daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Sehingga kini, tiada mana-mana kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Namun, kumpulan pemisah paling aktif di wilayah itu, Tentera Pembebasan Baloch (BLA), sering melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan dan sasaran kerajaan.

Balochistan, yang kaya dengan sumber mineral dan bersempadan dengan Afghanistan serta Iran, telah lama menjadi medan konflik antara kerajaan Pakistan dan kumpulan pemisah etnik Baloch yang menuntut kemerdekaan.

Pada bulan lalu, kumpulan pemisah Baloch melancarkan serangan terhadap sebuah kereta api yang membawa 450 penumpang, mencetuskan pengepungan selama dua hari dan mengorbankan puluhan nyawa.

Menurut perangkaan AFP, lebih 200 individu — kebanyakannya anggota keselamatan — terbunuh sejak awal tahun ini dalam serangan oleh kumpulan bersenjata di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan Balochistan.

Tahun 2024 pula dicatatkan sebagai tahun paling berdarah dalam tempoh satu dekad di Pakistan, selaras dengan peningkatan aktiviti militan susulan pengambilalihan kuasa oleh Taliban di Afghanistan pada 2021.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN