fb fb fb fb fb

Australia bimbang permintaan Rusia tempatkan pesawat tentera di Papua

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese / Foto Reuters

SYDNEY, 15 April – Australia telah mengemukakan pertanyaan rasmi kepada Indonesia susulan laporan yang mendakwa Rusia telah membuat permintaan untuk menempatkan pesawat tentera udara di Papua, menurut Perdana Menteri Anthony Albanese semalam.

Dalam kenyataan kepada media, Albanese menegaskan Australia tidak mahu melihat sebarang peningkatan pengaruh Rusia di rantau Asia Pasifik.

“Kami sememangnya tidak mahu melihat pengaruh Rusia di rantau ini,” katanya kepada wartawan, ketika isu berkenaan menjadi tumpuan utama kempen pilihan raya Australia.

Laporan oleh penerbitan pertahanan Janes mendakwa Jakarta telah menerima permintaan rasmi daripada Moscow untuk menempatkan pesawat Tentera Aeroangkasa Rusia (VKS) di sebuah kemudahan di Papua — wilayah paling timur Indonesia yang terletak kira-kira 1,200 kilometer dari bandar Darwin, Australia.

Di Darwin, pasukan marin Amerika Syarikat berpangkalan secara bergilir setiap tahun, dan beberapa pangkalan udara Australia kini sedang dinaik taraf untuk menerima kehadiran pengebom Amerika Syarikat.

Albanese turut menjelaskan Canberra sedang “meminta penjelasan lanjut” daripada Jakarta dan menekankan bahawa hubungan dua hala antara kedua-dua negara kekal kukuh.

Menurut laporan Australian Broadcasting Corporation (ABC), Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, yang menafikan sebarang rancangan untuk menempatkan pesawat tentera udara Rusia di negara itu.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Roy Soemirat, memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai permintaan tersebut.

Kementerian Pertahanan dan pihak tentera Indonesia juga belum memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan komen daripada Reuters.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Rusia, Denis Manturov, dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di Istana Presiden di Jakarta pada Selasa, menurut siaran televisyen tempatan.

Menteri Luar Australia, Penny Wong, turut mengulas bahawa Indonesia merupakan “rakan penting dalam aspek keselamatan Australia”, sambil memaklumkan kedua-dua negara telah memeterai perjanjian kerjasama pertahanan pada tahun lalu.

Ketua Pembangkang Australia, Peter Dutton, menyifatkan laporan itu sebagai membimbangkan dan menegaskan bahawa beliau sedang menunggu taklimat rasmi daripada kerajaan mengenai perkara berkenaan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN