HANOI, 15 April-Presiden China, Xi Jinping, memberi penghormatan kepada pemimpin revolusi Vietnam Ho Chi Minh, pada hari terakhir lawatannya ke Hanoi pada Selasa.
Lawatan berkenaan berlangsung ketika Presiden Donald Trump mendakwa pertemuan antara pemimpin China dan Vietnam itu bertujuan untuk “menjahanamkan” Amerika Syarikat.
Jinping berada di Vietnam sebagai sebahagian daripada lawatan ke Asia Tenggara yang turut melibatkan Malaysia dan Kemboja, dalam usaha China menampilkan diri sebagai alternatif kepada Amerika Syarikat ketika rantau tersebut berdepan dengan tarif perdagangan AS.
Menurut media rasmi Beijing, pada Isnin, Jinping menyeru agar China dan Vietnam menentang "pembulian unilateral dan mempertahankan kestabilan sistem perdagangan bebas global".
Beberapa jam selepas itu, Trump berkata kepada wartawan di White House bahawa mesyuarat mereka bertujuan untuk merugikan AS.
“Saya tidak salahkan China. Saya tidak salahkan Vietnam.
"Saya tak salahkan sesiapa. Mereka berjumpa hari ini, dan itu bagus,” kata Trump.
“Itu mesyuarat yang cantik… macam cuba untuk mengenakan Amerika Syarikat", katanya.
Pada Isnin, China dan Vietnam menandatangani 45 perjanjian kerjasama, termasuk dalam bidang rantaian bekalan, kecerdasan buatan, rondaan maritim bersama dan pembangunan kereta api.
Jinping dalam pertemuannya dengan pemimpin tertinggi Vietnam, To Lam, berkata bahawa kedua-dua negara kini berada di "titik perubahan sejarah" dan perlu "bergerak ke hadapan bersama-sama".
Lam pula berkata bahawa mereka telah mencapai "banyak persefahaman penting dan menyeluruh", menurut Agensi berita Vietnam.
Pada hari terakhir lawatan beliau, Presiden China itu meletakkan kalungan bunga merah yang tertera namanya serta kata-kata "Hidup Selamanya Pemimpin Agung Vietnam, Presiden Ho Chi Minh" di makam pemimpin tersebut di pusat bandar Hanoi.
Jinping juga dijadual menghadiri majlis pelancaran kerjasama kereta api Vietnam-China, api bernilai AS$8 bilion yang telah diumumkan tahun ini menghubungkan pelabuhan terbesar di utara Vietnam ke sempadan China.
Lawatan itu berlaku hanya dua minggu selepas Amerika Syarikat mengenakan duti sebanyak 46% ke atas barangan Vietnam, sebagai sebahagian daripada kempen tarif global.
Walaupun tarif AS terhadap Vietnam dan beberapa negara lain telah ditangguhkan, China masih menghadapi duti yang besar dan sedang berusaha untuk mengukuhkan hubungan perdagangan serantau sebagai langkah mengimbangi kesan tersebut dalam lawatan luar negara pertama Xi tahun ini.
Jinping akan menuju ke Malaysia kemudian pada hari yang sama dan seterusnya ke Kemboja, dalam satu lawatan yang menurut Beijing “mempunyai kepentingan besar” untuk seluruh rantau.
Dalam satu artikel yang diterbitkan pada Isnin dalam akhbar rasmi Vietnam Nhan Dan, Jinping menyeru supaya kedua-dua negara "mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala, kestabilan rantaian bekalan global, dan persekitaran antarabangsa yang terbuka serta koperatif".
Beliau turut menegaskan bahawa “perang perdagangan dan tarif tidak akan membawa kemenangan kepada sesiapa, dan perlindungan ekonomi tidak akan membawa hasil”.
China dan Vietnam, yang kedua-duanya ditadbir oleh parti komunis, telah lama mempunyai hubungan “perkongsian strategik komprehensif”, tahap diplomatik tertinggi bagi Hanoi.
Vietnam telah lama mengamalkan pendekatan "diplomasi buluh" iaitu satu strategi yang berusaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua kuasa besar, China dan Amerika Syarikat.
Walaupun hubungan ekonomi antara China dan Vietnam rapat, Hanoi juga berkongsi kebimbangan Amerika Syarikat terhadap tindakan agresif Beijing di Laut China Selatan yang masih menjadi pertikaian.-AFP.