fb fb fb fb fb

PBB kecam serangan Israel terhadap hospital di Gaza

Foto Reuters

GENEVA, 16 April – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan kebimbangan mendalam terhadap serangan tentera Israel ke atas Hospital Arab Al-Ahli di Gaza pada Ahad, yang menurut beliau telah memburukkan lagi keadaan sistem kesihatan yang sudah pun lumpuh di wilayah bergolak itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya pada Selasa, Guterres menegaskan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, individu yang cedera dan sakit, petugas kesihatan serta kemudahan perubatan termasuk hospital, mesti dihormati dan dilindungi.

“Serangan ini merupakan satu tamparan hebat kepada sistem penjagaan kesihatan yang telah pun terjejas teruk di Gaza,” katanya sambil menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan perubatan, makanan dan air yang semakin meruncing.

Menurut petugas perubatan di lokasi kejadian, dua peluru berpandu Israel telah mengenai Hospital Arab Al-Ahli, menyebabkan jabatan kecemasan tidak lagi dapat beroperasi serta merosakkan beberapa bahagian lain dalam bangunan hospital tersebut.

Pihak Israel mendakwa serangan itu menyasarkan pejuang Hamas yang didakwa menggunakan fasiliti hospital sebagai tempat persembunyian.

Bagaimanapun, para pegawai kesihatan di hospital terbabit menjelaskan pesakit telah dipindahkan terlebih dahulu selepas menerima panggilan telefon daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai pegawai keselamatan Israel, beberapa ketika sebelum serangan berlaku.

Sementara itu, tiada bantuan kemanusiaan baharu dibenarkan memasuki Gaza sejak Israel menyekat kemasukan trak bantuan pada 2 Mac lalu, berikutan rundingan mengenai fasa seterusnya gencatan senjata yang masih tertangguh.

Serangan ketenteraan Israel disambung semula pada 18 Mac.

Kementerian Luar Negeri Israel dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 25,000 trak bantuan telah memasuki Gaza dalam tempoh 42 hari gencatan senjata, namun mendakwa Hamas telah menggunakan bantuan tersebut untuk membina semula keupayaan ketenteraan mereka – satu tuduhan yang dinafikan oleh kumpulan itu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN