BEIJING, 15 April – Kerajaan China akan mengetatkan peraturan keselamatan terhadap bateri kenderaan elektrik (EV) dan hibrid plug-in sebagai langkah mengurangkan risiko kebakaran dan letupan, di tengah pertumbuhan pesat sektor automotif tenaga baharu di negara itu.
Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat dalam kenyataan semalam mengumumkan pengenalan piawaian teknikal baharu yang menetapkan syarat keselamatan lebih ketat, termasuk ujian wajib bagi memastikan bateri tidak meletup atau terbakar dalam tempoh masa yang ditetapkan ketika ujian dijalankan.
Langkah tersebut bertujuan mengurangkan risiko terhadap pemandu, penumpang dan harta benda akibat fenomena “thermal runaway”, iaitu punca utama kebakaran berkaitan bateri.
Piawaian baharu itu, yang diluluskan pada Mac lalu namun hanya diumumkan secara terbuka kini, akan dikuatkuasakan mulai Julai 2026 dan menggantikan versi terdahulu dari tahun 2020.
Peraturan sedia ada hanya mensyaratkan pemberian amaran lima minit sekiranya terdapat risiko kebakaran pada kenderaan elektrik.
Antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk ujian baharu bagi menguji daya tahan terhadap impak pelanggaran dan pengecasan pantas.
Kenderaan tenaga baharu (NEV), yang merangkumi EV dan hibrid plug-in, telah mula mengatasi jualan kenderaan petrol di China secara berkala sejak tahun lalu.
Ini melangkaui sasaran awal Beijing yang menetapkan 20 peratus jualan NEV menjelang 2025 yang disemak semula pada 2020 kepada lebih 50 peratus menjelang 2035, hasil dasar sokongan kerajaan selama lebih satu dekad.
Meskipun laporan CCTV pada Jun 2024 menyebut bahawa kadar kebakaran NEV adalah lebih rendah berbanding kenderaan petrol, kejadian tular di media sosial berkaitan kebakaran kenderaan elektrik yang tidak disahkan terus mencetuskan kebimbangan awam.
Antara kes yang mencuri tumpuan ialah nahas maut pada Mac lalu yang melibatkan sebuah sedan keluaran Xiaomi.
Kenderaan tersebut terbakar selepas melanggar tiang tepi jalan pada kelajuan 97 km/j, dengan sistem bantuan pemanduan diaktifkan ketika kejadian.
Insiden itu telah mencetuskan perdebatan meluas mengenai tahap keselamatan EV, mendorong media rasmi kerajaan menggesa syarikat automotif agar tidak membesar-besarkan keupayaan teknologi pemanduan pintar mereka.-REUTERS