BEIJING, 15 April – China telah mengarahkan syarikat penerbangan negara itu untuk menghentikan penerimaan pesawat baharu dari syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Boeing, menurut satu laporan yang dikeluarkan pada Selasa.
Langkah itu dilihat sebagai perkembangan terbaharu dalam perang perdagangan yang semakin memuncak antara Beijing dan Washington.
Sejak Presiden Donald Trump memulakan pentadbirannya pada Januari lalu, kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu telah terperangkap dalam kitaran perang tarif yang menyaksikan AS kini mengenakan cukai import sehingga 145 peratus terhadap barangan dari China.
Sebagai tindak balas, Beijing mengecam tindakan tersebut sebagai tindakan membuli oleh Washington dan telah mengenakan duti balas sebanyak 125 peratus terhadap barangan import dari AS, sambil menolak sebarang rundingan baharu yang dianggap tidak berguna.
Menurut laporan Bloomberg News, China bukan sahaja menghentikan penghantaran pesawat Boeing, malah telah mengarahkan syarikat penerbangannya untuk menangguhkan pembelian peralatan dan alat ganti berkaitan penerbangan dari syarikat AS.
Sementara itu, Agensi berita AFP melaporkan bahawa mereka telah menghubungi Boeing dan Kementerian Luar China untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
Tarif balas yang dikenakan oleh China terhadap import dari AS dijangka akan meningkatkan kos membawa masuk pesawat serta komponen berkaitan secara mendadak.
Bloomberg turut melaporkan bahawa kerajaan China sedang mempertimbangkan langkah bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan yang menyewa pesawat Boeing, susulan peningkatan kos yang perlu ditanggung akibat tarif tersebut.
Pada Jumaat, pegawai AS telah mengumumkan pengecualian tarif terhadap beberapa barangan teknologi tinggi seperti telefon pintar, cip semikonduktor dan komputer – langkah yang dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan tekanan dalam sektor teknologi.
Terdahulu,Trump secara mengejut telah mengumumkan pembekuan terhadap kenaikan tarif tambahan minggu lalu, namun masih tidak memberikan sebarang kelonggaran kepada China buat masa ini.-AFP.