fb fb fb fb fb

Jepun ke Washington, adakan rundingan tarif

Kawasan pejalan kaki di Osaka/ AFP

TOKYO, 15 April- Duta Jepun berlepas ke Washington untuk bertemu dengan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu untuk rundingan tarif akan datang.

Jepun juga tidak terlepas daripada tarif perdagangan Presiden AS Donald Trump walaupun negara itu menjadi pelabur terbesar ke Amerika Syarikat.

Levi itu termasuk 25 peratus ke atas kereta dan duti "timbal balik" sebanyak 24 peratus ke atas kebanyakan import Jepun yang lain namun perkara itu digantung minggu lepas selama 90 hari bersama-sama dengan kebanyakan negara lain.

Selain itu, import keluli dan aluminium Jepun ke AS berdepan tarif 25 peratus.

Menteri Pemulihan Ekonomi Jepun Ryosei Akazawa "akan berlepas pada 16 April ke AS dan akan kembali pada 18 April," kata jurucakap pejabat kabinet.

Namun jurucakap itu tidak memberikan butiran lanjut tetapi Akazawa dijangka bertemu Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.

Lawatan itu dibuat selepas Trump mencadangkan beliau boleh meredakan sektor automotif dan memaklumkan perkara itu sebagai fleksibel dan sebagai usaha untuk membantu beberapa syarikat kereta yang dikenakan tarif 25 peratus ke atas semua import.

Akazawa, yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari universiti AS, dilaporkan rapat dengan Perdana Menteri Shigeru Ishiba.

Bessent memaklumkan rundingan perdagangan dengan Jepun akan berlangsung pada Rabu menakala rundingan dengan Korea Selatan akan diadakan pada minggu depan.

"Ia akan bergerak pantas," kata Bessent kepada Bloomberg TV.

Pemangku Presiden Korea Selatan Han Duck-soo berkata, walaupun Washington kekal dengan pengenalan tarif namun ia "menunjukkan beberapa fleksibiliti dalam bidang seperti tarif timbal balik dan duti khusus item".

"Kini rundingan sedang dilakukan dengan kerajaan AS," kata Han dalam mesyuarat kabinet.

"Perang perdagangan global ini boleh menjadi pemangkin untuk meningkatkan kehidupan rakyat dan meningkatkan daya saing eksport Korea Selatan namun ia bergantung kepada cara kita bertindak balas," katanya.

Ketua Menteri Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto turut memaklumkan bahawa beliau dan pegawai tinggi lain, termasuk Menteri Luar Sugiono dan Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati, juga akan ke Washington pada Rabu.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI