SINGAPURA, 13 Disember- Rakyat Singapura mengucapkan 'selamat tinggal' kepada Le Le, anak panda jantan berusia dua tahun yang bakal dihantar pulang ke negara asalnya China, tahun depan.
Le Le, panda pertama dilahirkan di Singapura membuat penampilan terakhirnya hari ini pada khalayak ramai di taman hidupan liar River Wonders.
Ia kemudian akan melalui tempoh kuarantin selama sebulan sebelum dijadualkan terbang ke Chengdu pada 16 Januari depan.
Le Le dilahirkan pada 2021 melalui permanian beradas (IUI) selepas ibu bapanya, Jia Jia dan Kai Kai gagal mengawan secara semula jadi.
Jia Jia dan Kai Kai kini masing-masing berusia 15 dan 16 tahun tiba di Singapura pada 2012 secara pinjaman dari China.
Dalam perjanjian itu, anak yang berjaya dilahirkan pasangan terbabit perlu dihantar ke China setelah mencapai usia matang bagi program pembiakan. -AFP