fb fb fb fb fb

Singapura sumbang bantuan banjir AS$50,000 kepada Pakistan

SINGAPURA, 1 September- Kerajaan Singapura akan menyumbang AS$50,000 sebagai menyokong usaha mengumpul dana awam Palang Merah Singapura (SRC) untuk krisis kemanusiaan akibat bencana banjir di Pakistan, menurut Kementerian Luar republik itu.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan Kerajaan Singapura akan menambah ikrar SRC sebanyak S$50,000 untuk menyokong keperluan segera termasuk makanan, tempat perlindungan kecemasan, penyelesaian air bersih dan sanitasi, dan barangan kebersihan kepada komuniti terjejas.

Pakistan pada 26 Ogos dilaporkan merayu bantuan antarabangsa bagi menangani bencana banjir yang menyebabkan lebih 30 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Negara itu mengalami lapan kitaran hujan lebat pada musim tengkujuh, kata Menteri Perubahan Iklim Pakistan Sherry Rehman.

Pakistan lazimnya hanya mengalami tiga hingga empat kitaran hujan monsun.

Sepanjang 24 jam yang lalu, 36 orang terkorban di seluruh Pakistan, menjadikan jumlah keseluruhan korban seramai 1,162.


FOTO AFP

Daripada jumlah kematian terbaharu itu 19 dilaporkan dari kawasan selatan wilayah timur laut Punjab.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sembilan korban dilaporkan di wilayah Khyber Pakhtunkhw dan selebihnya di Sindh dan di Balochistan. -BERNAMA

Media Baharu