(Orang ramai memakai topeng muka pelindung untuk mencegah
penularan COVID-19 /REUTERS)
WASHINGTON, 31 Ogos- Jangka hayat rakyat Amerika Syarikat menurun pada 2021 untuk tahun kedua berturut-turut, penurunan dua tahun terbesar dalam satu abad terutamanya disebabkan oleh wabak COVID-19, umum pegawai kesihatan AS.
Jangka hayat AS semasa kelahiran menurun hampir setahun penuh dari 2020 hingga 2021, kepada 76.1 tahun, purata terendah sejak 1996, menurut data sementara daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Sebagai perbandingan, rakyat AS pada 2020 dijangka hidup 77 tahun, penurunan mendadak daripada 78.8 tahun pada 2019.
"Penurunan dalam jangka hayat sejak 2019 sebahagian besarnya didorong oleh wabak itu," kata Pusat Statistik Kesihatan Kebangsaan (CDC).
(Ibu pejabat Pusat Statistik Kesihatan Kebangsaan di Atlanta, Georgia)
Kematian berkaitan COVID-19 menyumbang tiga perempat daripada penurunan pada 2020, dan kira-kira separuh daripada penurunan pada 2021, katanya.
Kejatuhan kira-kira 15% pada 2021 boleh dikaitkan dengan kematian akibat kemalangan atau kecederaan yang tidak disengajakan, terutamanya terlebih dos dadah.
Penurunan mendadak dalam jangka hayat tahun lepas berlaku dalam kalangan Orang Asli Amerika dan Orang Asli Alaska, pada kadar 1.9 tahun, diikuti orang Amerika kulit putih (1 tahun) dan orang Amerika Hitam (0.7 tahun), menurut CDC.
Jangka hayat untuk Orang Asli Amerika dianggarkan hanya 65.2 tahun pada 2021, berbanding 70.8 tahun untuk Orang Kulit Hitam Amerika dan 76.4 tahun untuk orang Amerika kulit putih.
Pegawai kesihatan juga menyatakan jurang yang semakin meningkat dalam jangka hayat antara lelaki dengan wanita, perbezaan yang melebar daripada 5.7 tahun pada 2020 kepada 5.9 pada 2021 jurang terbesar sejak 1996.
Wanita Amerika pada 2021 mempunyai jangka hayat 79.1 tahun, berbanding 73.2 tahun untuk lelaki. -AFP
(Orang ramai melawat "In America: Remember" karya Suzanne Brennan Firstenberg, sebuah
peringatan untuk rakyat Amerika yang meninggal dunia akibat COVID-19/REUTERS)