(Michelle Bachelet/AFP)
GENEVA, 31 Ogos- Ketua Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet akan mengeluarkan laporan yang telah lama ditunggu-tunggu mengenai dakwaan pelanggaran di wilayah Xinjiang, China walaupun terdapat tekanan kuat daripada Beijing.
"Laporan mengenai Xinjiang akan dikeluarkan hari ini," kata jurucakapnya, Jeremy Laurence.
Bachelet sebelum ini berjanji untuk menerbitkan laporan itu sebelum mandatnya tamat tengah malam ini.
Di tengah-tengah dakwaan penderaan di Xinjiang, Bachelet mendapat tekanan yang semakin meningkat untuk menyiasat dan bercakap mengenai wilayah barat jauh China itu.
Beijing dituduh menahan lebih satu juta anggota etnik Uyghur dan minoriti Islam lain di wilayah berkenaan.
Hampir setahun yang lalu, bekas presiden Chile itu memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia PBB penilaian bebas tentang situasi di Xinjiang diperlukan, dan menunjukkan bahawa pejabatnya sedang memuktamadkan laporan mengenainya.
Tetapi laporan itu berulang kali ditangguhkan.
Belum pun diterbitkan, jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian menolak laporan itu dan berkata beliau berharap Bachelet tidak akan menerbitkannya.
(PBB/Fail foto)
“Kami dengan tegas menentang pengeluaran apa yang dipanggil laporan berkaitan Xinjiang oleh Pejabat Hak Asasi Manusia PBB,” katanya.
“Laporan ini adalah sandiwara yang didalangi Amerika Syarikat dan sebilangan kecil kuasa Barat,” katanya.
"Kami berharap pesuruhjaya tinggi akan membuat keputusan yang betul."
Zhao berkata Bachelet harus bertindak dengan "objektif, saksama, tidak pilih kasih dan tidak mempolitikkan" dan menentang "standard berganda dalam isu hak asasi manusia". -AFP