fb fb fb fb fb

Singapura sekat catatan warga asing di Facebook menjelang pilihan raya

Foto Reuters

SINGAPURA, 26 April – Pihak berkuasa Singapura mengarahkan syarikat induk Facebook, Meta supaya menyekat akses rakyat tempatan kepada beberapa catatan media sosial yang dibuat oleh warga asing menjelang pilihan raya negara itu, kata kenyataan rasmi semalam.

Arahan itu dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) selepas beberapa catatan didapati “berniat untuk mempromosikan atau menjejaskan kejayaan atau kedudukan pilihan raya” bagi mana-mana parti atau calon, menurut Jabatan Pilihan Raya dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri.

Pilihan raya yang dijadual berlangsung pada 3 Mei ini adalah yang pertama diadakan di bawah peraturan media sosial baharu yang diperkenalkan pada 2023.

Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang telah memenangi majoriti kerusi dalam setiap pilihan raya sejak merdeka pada 1965, dijangka terus mendominasi.

Di bawah undang-undang baharu itu, warga asing dilarang menerbitkan iklan pilihan raya secara dalam talian.

Larangan itu meliputi sebarang kandungan digital yang boleh membantu atau menjejaskan mana-mana parti atau calon politik.

Tiga individu dikenal pasti dalam kenyataan itu, iaitu Iskandar Abdul Samad, Bendahari Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS); Mohamed Sukri Omar, Ketua Pemuda PAS Selangor; dan pengguna Facebook “Zai Nal”, yang dikenal pasti sebagai Zulfikar bin Mohamad Shariff, seorang warganegara Australia yang pernah menjadi rakyat Singapura.

Iskandar dilaporkan menyatakan sokongan kepada calon Parti Pekerja (Workers’ Party), Faisal Manap, menerusi hantaran media sosial.

Zulfikar pula dikatakan menuduh ahli parlimen Melayu-Islam di Singapura gagal mewakili kepentingan umat Islam dan menulis bahawa negara itu tidak memerlukan lagi ahli parlimen Melayu yang tidak membawa suara sebenar komuniti tersebut.

Sukri dilaporkan telah memuat naik semula hantaran berkenaan.

Pihak berkuasa menyatakan tindakan mereka adalah bagi mencegah campur tangan asing dalam politik tempatan dan mengelakkan pengundi dipengaruhi berdasarkan garis kaum dan agama.

Sebagai maklum balas terhadap arahan tersebut, Zulfikar dalam satu hantaran Facebook menyatakan tindakan itu mencerminkan ketakutan dan keputusasaan pihak pemerintah.

Beliau turut memaklumkan akan menubuhkan saluran WhatsApp dan laman sesawang baharu bagi meneruskan advokasinya.

Parti Pekerja dalam kenyataan berasingan menyatakan mereka tidak mempunyai kawalan terhadap sokongan yang dinyatakan oleh pihak asing.

Parti itu juga menjelaskan bahawa calon mereka, Faisal, telah lama menegaskan keperluan untuk menjauhkan agama daripada politik bagi mengelakkan penyalahgunaan untuk kepentingan peribadi atau parti.

Parti PAP belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.

Meta, Iskandar, Sukri dan PAS juga tidak memberikan sebarang maklum balas setakat ini.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN