BRASILIA, 26 April-Sekumpulan saintis telah mengenal pasti fosil tinggalan semut tertua yang pernah ditemui iaitu seekor serangga bersayap dengan rahang tajam seperti sabit yang hidup kira-kira 113 juta tahun lalu ketika zaman dinosaur.
Fosil berkenaan ditemui dalam batu kapur di timur laut Brazil.
Spesies yang dinamakan Vulcanidris cratensis, tergolong dalam kumpulan purba dikenali sebagai 'semut neraka' (hell ants) dinamakan sempena rahang mereka yang kelihatan menggerunkan.
Kumpulan semut berkenaan pernah berkembang semasa Zaman Kapur (Cretaceous), namun telah pupus.
Vulcanidris, seekor semut bersaiz sederhana sepanjang kira-kira 1.35 sentimeter, mempunyai rahang khusus yang membolehkannya mencengkam atau menikam mangsanya. Seperti sebahagian semut moden, ia mempunyai sayap dan dipercayai mampu terbang dengan baik.
Ia juga mempunyai sengat yang berkembang baik seperti penyengat tebuan.
“Ia mungkin akan disangka sebagai seekor tebuan oleh mata yang tidak terlatih,” kata Anderson Lepeco, seorang entomologis dari Muzium Zoologi Universiti São Paulo dan penulis utama kajian yang diterbitkan minggu ini dalam jurnal Current Biology.
Menurut Lepeco, rahang semut ini bergerak secara menegak, tidak seperti semut moden yang rahangnya bergerak secara mendatar.
“Kini, banyak bentuk rahang pelik boleh ditemui dalam kalangan semut, tetapi semuanya biasanya bergerak secara mendatar,” katanya.
Penemuan ini menjadikan Vulcanidris lebih tua 13 juta tahun berbanding semut tertua yang diketahui sebelum ini, iaitu spesimen yang ditemui di Perancis dan Myanmar serta diawet dalam amber (getah pokok yang membatu).
Fosil Vulcanidris ini sangat terpelihara dalam batu kapur dari Formasi Geologi Crato di negeri Ceará. Batu tersebut dipercayai digali pada tahun 1980-an atau 1990-an dan disimpan dalam koleksi peribadi sebelum disumbangkan kepada muzium kira-kira lima tahun lalu.
“Saya sedang mencari fosil tebuan dalam koleksi itu dan terkejut apabila mengenal pasti serangga ini sebagai kerabat dekat semut neraka yang pernah dijelaskan dari amber Myanmar,” kata Lepeco.
Ciri-ciri khusus anatomi Vulcanidris dan hakikat bahawa dua semut neraka ditemui sangat jauh antara satu sama lain dalam tempoh yang sama menunjukkan bahawa kumpulan semut mungkin telah wujud jauh lebih awal daripada usia spesies ini.
“Berdasarkan anggaran molekul, semut dipercayai berasal antara 168 juta hingga 120 juta tahun lalu.
"Penemuan ini menyokong anggaran asal yang lebih awal dalam julat itu,” kata Lepeco.
Semut dipercayai berevolusi daripada tebuan, dan kerabat terdekat mereka yang masih hidup hari ini ialah lebah dan tebuan.
Vulcanidris hidup dalam ekosistem yang kaya dengan pelbagai bentuk kehidupan. Fosil dari kawasan tersebut menunjukkan ia berkongsi habitat dengan serangga lain, labah-labah, lipan, kelip-kelip, krustasea, kura-kura, buaya, pterosaur (reptilia terbang), burung, serta dinosaur seperti Ubirajara, pemakan daging berbulu.
Pemangsanya mungkin termasuk katak, burung, labah-labah dan serangga besar.
Kini, semut telah menjajah hampir seluruh permukaan bumi. Kajian yang diterbitkan pada tahun 2022 menganggarkan jumlah keseluruhan populasi semut di dunia ialah 20 kuadrilion, jauh melebihi populasi manusia sekitar 8 bilion.
“Mereka adalah antara kumpulan haiwan paling banyak dalam hampir semua ekosistem di dunia,” kata Lepeco.
“Mereka memainkan pelbagai peranan penting seperti pemangsa, pemakan tumbuhan, pengawal populasi haiwan lain, dan penyerbuk.
"Ada yang melindungi tumbuhan dan serangga tertentu daripada ancaman. Semut bawah tanah dan di kawasan daun reput juga menyumbang kepada kesuburan tanah dan proses pereputan,” tambahnya.-REUTERS.