fb fb fb fb fb

Singapura laksana hukuman gantung warga Malaysia cacat mental terbabit kes dadah

SINGAPURA, 27 April- Warga Malaysia cacat mental yang didapati bersalah mengedar dadah di Singapura dihukum gantung sampai mati hari ini selepas usaha mencabar hukuman terbabit oleh ibunya gagal.

Tertuduh, Nagaenthran K. Dharmalingam, 34 tahun dijatuhi hukuman tersebut awal pagi tadi.

Perkara berkenaan disahkan oleh kakaknya, Sarmila Dharmalingam.

"Ia sesuatu yang sukar dipercayai, Singapura meneruskan hukuman berkenaan walaupun pelbagai usaha peringkat antarabangsa untuk mendapatkan pengampunan gagal," katanya sambil menambah, kaum keluarga kini berada dalam keadaan yang teramat sedih dan terkejut.

(Panchalai Supermaniam, ibu Nagaenthran menangis selepas usahanya mencabar keputusan Mahkamah Singapura gagal / Foto AFP)

Tertuduh, sebelum ini ditahan pada tahun 2009 ketika berusia 21 tahun selepas ditangkap menyeludup kira-kira 43 gram dadah jenis heroin sewaktu melintasi sempadan Malaysia-Singapura.

Usaha mencabar hukuman tersebut selama lebih sedekad gagal selepas ditolak oleh Mahkamah Singapura selain permohonan pengampunan Presiden Singapura juga gagal.

Keputusan tersebut sekaligus mendapat kecaman antarabangsa kerana tertuduh merupakan seorang yang mengalami ketidakupayaan mental.

Reprieve, Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menentang hukuman mati menyifatkan Nagaenthran adalah mangsa salah laku keadilan yang tragis.

"Menggantung individu yang mengalami ketidakupayaan mental dan tidak sihat mental adalah tidak wajar dan secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa," kata pengarahnya, Maya Foa.

Penyokong mengatakan tertuduh mempunyai IQ 69, tahap yang diiktiraf sebagai orang kurang upaya (OKU) dan telah dipaksa melakukan jenayah itu.

Tetapi pihak berkuasa Singapura telah mempertahankan sabitannya, mengatakan keputusan undang-undang mendapati dia tahu apa yang dia lakukan pada masa kesalahan itu.- AFP





Media Baharu