fb fb fb fb fb

China rekod kes pertama selesema burung H3N8 melibatkan manusia

(Foto fail AFP)

BEIJING 27 April- China mengesahkan penemuan kes pertama virus selesema burung H3N8 menjangkiti manusia.

Namun, pihak berkuasa kesihatan menjelaskan terdapat risiko rendah penularan meluas dalam kalangan manusia.

H3N8 mula dikesan pada 2002 selepas pertama kali muncul dalam unggas air di Amerika Utara. Virus itu telah menjangkiti kuda, anjing dan anjing laut, namun tidak pernah dikesan pada manusia sebelum ini.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional China (NHC) jangkitan itu melibatkan budak lelaki berumur empat tahun, menetap di tengah wilayah Henan; telah diuji positif selepas dimasukkan ke hospital awal bulan ini kerana demam dan gejala lain.

Keluarga kanak-kanak itu ada memelihara ayam di kediaman mereka yang terletak di kawasan habitat itik liar, kata kenyataan NHC.

"Kanak-kanak tersebut berjangkit secara langsung daripada burung dan "strain" itu dikenal pasti tiada keupayaan untuk menjangkiti manusia," jelas suruhanjaya itu.

Ujian kontak rapat kanak-kanak berkenaan juga mendapati "tiada keadaan luar biasa" dikesan.

NHC berkata, kes itu itu adalah "spesis transmisi rentas sekali sahaja, dan risiko penularan berskala besar adalah rendah".


(Foto fail AFP)

Sehubungan itu, pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mendekati unggas atau burung yang mati atau sakit dan segera mendapatkan rawatan jika demam atau mengalami gejala pernafasan.

Kes selesema burung memang berlaku terutamanya melibatkan burung liar dan ayam. Namun kes penularan antara manusia amat jarang berlaku.

Pada 2012, H3N8 dikatakan menjadi punca kematian lebih 160 anjing laut di luar pantai timur Amerika Syarikat selepas virus itu menyebabkan haiwan itu mengalami radang paru-paru. -AFP

Media Baharu