SINGAPURA, 23 April- Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) akan bermula pagi Rabu, dengan senarai muktamad calon yang layak bertanding dijangka disahkan sekitar tengah hari selepas tamat proses penamaan.
Sembilan pusat penamaan di seluruh negara akan dibuka pada pukul 10 pagi, dengan penyerahan borang pencalonan dijadualkan bermula pada 11 pagi. Polis telah menasihatkan semua calon supaya hadir awal bagi memastikan proses berjalan lancar.
“Jurong-Pioneer Junior College” dijangka menjadi antara lokasi utama, berperanan sebagai pusat penamaan bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling - Yew Tee, GRC Chua Chu Kang dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Gombak.
Perdana Menteri Lawrence Wong dan Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dijangka mengemukakan borang pencalonan mereka di pusat berkenaan bagi GRC masing-masing.
Wong, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), akan mengetuai pasukannya mempertahankan GRC Marsiling -Yew Tee, manakala Gan dan pasukannya akan bertanding di GRC Chua Chu Kang. Setiap GRC itu merangkumi empat kerusi Parlimen yang kini diwakili PAP.
Satu lagi kawasan tumpuan ialah GRC East Coast yang mempunyai lima kerusi Parlimen. Belum dapat dipastikan sama ada Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan bertanding semula di kawasan itu.
Dua Ahli Parlimen penyandang dari GRC East Coast - Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman dan Cheryl Chan - telah mengumumkan persaraan daripada politik.
Pemerhati menjangkakan beberapa kejutan pada hari penamaan, dengan beberapa parti politik masih merahsiakan senarai calon mereka bagi kawasan penting sehingga saat akhir.
Parti pembangkang utama, Parti Pekerja (WP) masih belum mengesahkan sama ada Setiausaha Agungnya Pritam Singh dan pasukan penyandang bagi GRC Aljunied - yang dianggap kubu kuat parti itu - akan kekal bertanding di kawasan berkenaan atau dipindahkan ke kawasan lain.
Kempen pilihan raya akan bermula selepas proses penamaan selesai. Tempoh berkempen ditetapkan selama sembilan hari, sebelum Hari Bertenang pada 2 Mei.
Hari pengundian ditetapkan pada 3 Mei.
Calon yang berhasrat menganjurkan ceramah atau rapat umum perlu memohon permit polis. Acara sedemikian hanya boleh diadakan seawal sehari selepas hari penamaan.
Pada PRU2020, 11 parti politik dan seorang calon bebas bertanding, dengan PAP memenangi 83 kerusi manakala WP memperoleh 10 kerusi.
PRU2025 merupakan pilihan raya pertama bagi Wong sebagai Perdana Menteri serta Ketua PAP, dan dijangka menyaksikan pertandingan bagi kesemua 97 kerusi Parlimen di 33 kawasan - merangkumi 18 GRC dan 15 SMC.- BERNAMA