GAZA, 23 April– Empat orang awam terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan Israel ke atas bandar Bani Suheila, di timur Khan Yunis, selatan Gaza, pada petang Selasa.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), penduduk melaporkan bahawa serangan itu dilakukan oleh sebuah dron Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di kawasan berkenaan.
Israel secara sepihak telah menamatkan perjanjian gencatan senjata di Gaza dan menyambung semula serangan pada Selasa, 18 Mac, dengan melancarkan gelombang serangan udara berdarah yang mengorbankan ratusan rakyat Palestin, termasuk lebih 100 kanak-kanak.
Menurut sumber perubatan, jumlah korban kini mencecah 1,890 orang, manakala seramai 4,950 lagi cedera.
"Pasukan kecemasan masih berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
"Dalam tempoh 24 jam lalu, mayat 26 rakyat Palestin serta 60 mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital di seluruh Gaza,"menurut laporan WAFA yang memetik sumber perubatan.
Sejak Oktober 2023, Israel telah melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza yang telah meragut nyawa 51,266 rakyat Palestin majoritinya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan 116,991 yang lain.
Lebih 10,000 orang masih hilang dan dipercayai maut tertimbus di bawah runtuhan kediaman mereka di seluruh wilayah tersebut.
Pencerobohan Israel turut menyebabkan hampir dua juta penduduk dipindahkan secara paksa dari seluruh Gaza, dengan majoriti mereka terpaksa berlindung di bandar Rafah, menjadikannya penghijrahan terbesar rakyat Palestin.