fb fb fb fb fb

UNRWA kecam sekatan Israel, gesa gencatan senjata disambung semula

Foto AFP

ISTANBUL, 22 April- Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Selasa mengecam sekatan Israel ke atas Gaza yang berlarutan sejak 2 Mac lepas dan menggesa agar gencatan senjata disambung semula, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Berapa lama lagi kata-kata kecaman kosong akan diterjemah kepada tindakan untuk menamatkan sekatan, menyambung semula gencatan senjata dan menyelamatkan saki-baki nilai kemanusiaan?” kata Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini menerusi hantaran di platform X.

Lazzarini berkata dua juta penduduk, khususnya wanita dan kanak-kanak, kini menjadi mangsa hukuman beramai-ramai, sementara golongan yang cedera dan sakit pula dinafikan hak mendapatkan rawatan perubatan.

“Kelaparan sedang merebak dan semakin meruncing, ia berlaku secara disengajakan dan berpunca daripada tindakan manusia. Gaza telah menjadi tanah penuh dengan keadaan terdesak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan hampir 3,000 trak dengan muatan bantuan kecemasan dan bekalan asas UNRWA yang sedia untuk memasuki Gaza kini berisiko lupus.

“Bantuan kemanusiaan sedang dijadikan alat tawar-menawar dan senjata perang. Kepungan mesti ditamatkan, bekalan mesti dibenarkan masuk, semua tahanan mesti dibebaskan dan gencatan senjata mesti disambung semula,” katanya.

PBB pada Isnin menandakan 50 hari sejak Israel mengenakan sekatan sepenuhnya terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza, sambil memberi amaran bahawa keadaan semakin merosot dan mengancam nyawa orang awam.

Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus membatalkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai pada 19 Januari.

Secara keseluruhan, lebih 51,200 rakyat Palestin di Gaza terbunuh sejak Oktober 2023.

Israel menghentikan penghantaran bantuan ke wilayah itu pada 2 Mac, beberapa jam selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama 42 hari berakhir.- BERNAMA-ANADOLU

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM