DELTA MEKONG, 22 April- Harga durian di Wilayah Delta Mekong, Vietnam jatuh mendadak, dengan sesetengah kawasan merekodkan hanya satu pertiga daripada harga bagi tempoh sama tahun lepas, ekoran tindakan China mengetatkan prosedur kawalan kualiti dan kelewatan pelepasan kastam.
Di kawasan utama penanaman durian seperti Tien Giang, Can Tho dan Ben Tre, durian jenis Ri6 dijual pada harga VND35,000–40,000 (US$1.40–1.60) sekilogram (kg) di ladang, berbanding VND100,000–120,000 (US$3.90–4.70) setahun lepas, lapor Vietnam News.
Durian Monthong dari Thailand turut terkesan, dengan harga kini hanya kira-kira VND60,000 hingga 70,000 (US$2.30 hingga 2.70) sekilogram.
Seorang pekebun durian di Tien Giang, Tran Dình Phong berkata meskipun hasil kebunnya sedia untuk dituai, pembeli berwaspada untuk membeli dan tempahan yang dipersetujui bulan lepas pada harga VND60,000 sekilogram kini berisiko dibatalkan berikutan penurunan harga yang berterusan.
“Ketika ini, saya hanya dapat menjual secara runcit kepada peniaga kecil sekitar VND45,000 sekilogram bagi buah berkualiti baik,” katanya.
Petani, peniaga dan pengusaha durian kini berdepan tekanan.
Nguyen Minh Thai, seorang peniaga durian berkata, tahun lepas beliau membeli sehingga 30 tan durian sehari untuk dieksport ke China, namun sejak Mac tahun ini, hanya tiga hingga empat tan sehari dapat dijual apabila rakan niaga mengecilkan jumlah tempahan.
Beliau menjelaskan, China kini mengenakan pemeriksaan 100 peratus terhadap setiap penghantaran durian dan menjalankan ujian ketat terhadap sisa racun perosak, logam berat serta Auramine O (Basic Yellow 2 atau BY2), sejenis pewarna industri yang diharamkan kerana risiko kanser.
Tempoh pemeriksaan yang berpanjangan menyebabkan banyak penghantaran tersadai di sempadan, hingga buah merekah dan rosak sebelum tiba di pasaran.
Beberapa syarikat di Tien Giang menyatakan mereka terpaksa menjual durian dalam pasaran domestik pada kerugian sehingga 40 peratus selepas menunggu terlalu lama untuk pelepasan kastam.
“Risiko terlalu besar, jadi kami terpaksa mengehadkan pembelian,” kata seorang wakil syarikat.
Pada 2024, eksport durian Vietnam mencatat rekod sebanyak US$3.3 bilion, hampir separuh daripada jumlah pendapatan negara itu bagi eksport buah-buahan dan sayur-sayuran.
Namun, dalam dua bulan pertama tahun ini, nilai eksport merosot sebanyak 69 peratus kepada US$52.7 juta.
Eksport ke China, pasaran utama, merosot 83 peratus kepada US$27 juta, menjadikan durian jatuh ke tempat ketiga selepas buah naga dan pisang.
Beberapa syarikat menggesa pihak berkuasa berunding dengan China untuk mengiktiraf keputusan pemeriksaan yang dijalankan di Vietnam dan mempercepat tempoh ujian kepada tidak lebih empat hari.
Selain itu, kawalan kualiti di peringkat awal perlu dipertingkat dengan panduan khusus kepada petani berkenaan penggunaan baja dan racun perosak agar mematuhi piawaian ditetapkan.
Jabatan Perlindungan Tumbuhan Vietnam memaklumkan yang ia memperketat pemantauan terhadap kawasan tanaman dan pusat pembungkusan, termasuk menggantung kod eksport bagi lokasi yang gagal memenuhi piawaian sisa bahan kimia, logam berat atau keperluan pengesanan asal-usul.
Persatuan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Vietnam memberi amaran, jika isu pemeriksaan dan pelepasan kastam tidak diselesaikan segera, sasaran eksport durian sebanyak US$3.5 bilion pada 2025 mungkin tidak tercapai dan sektor itu akan terus menanggung kerugian besar.- BERNAMA-VNA/VN