SINGAPURA, 16 Ogos - Status penduduk tetap (PR) bilionair Malaysia, Ong Beng Seng di Singapura akan dikaji semula susulan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana bersubahat menghalang keadilan dalam kes yang dikaitkan dengan bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, menurut laporan media Singapura
Jurucakap Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memberitahu The Straits Times pada Jumaat bahawa pihaknya akan mengkaji semula status PR penduduk tetap Singapura yang disabitkan dengan kesalahan.
Ong, 79 tahun didenda jumlah maksimum S$30,000 pada Jumaat selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu pada 4 Ogos.
Satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat dengan seorang penjawat awam untuk mendapatkan hadiah di bawah Seksyen 165 telah diambil kira bagi tujuan hukuman.
Hakim Daerah Utama Lee Lit Cheng bersetuju dengan pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa belas kasihan kehakiman wajar diberikan dalam kes itu berikutan keadaan kesihatan Ong.
Tokoh hartanah itu menghidap mieloma multipel peringkat lanjut, sejenis kanser yang tidak boleh diubati, yang telah merosakkan sistem rangkanya serta menjejaskan sistem imun secara serius, sekali gus menjadikannya sangat terdedah kepada jangkitan yang mengancam nyawa. - BERNAMA