GAZA, 16 Ogos - Sekurang-kurangnya 1,760 rakyat Palestin telah terbunuh ketika mencari bantuan di Gaza sejak akhir Mei, peningkatan beberapa ratus sejak angka terakhir diterbitkan pada awal Ogos, lapor Pejabat Hak Asasi Kemanusiaan PBB di wilayah Palestin pada Jumaat.
"Sejak 27 Mei dan setakat 13 Ogos, kami telah merekodkan sekurang-kurangnya 1,760 rakyat Palestin telah terbunuh semasa mencari bantuan; 994 di sekitar tapak Yayasan Kemanusiaan Gaza GHF dan 766 di sepanjang laluan konvoi bekalan. Kebanyakan pembunuhan ini dilakukan oleh tentera Israel," kata pejabat agensi itu.
Itu berbanding dengan angka 1,373 yang terbunuh seperti dilaporkan pada 1 Ogos.
Agensi Pertahanan Awam Gaza berkata sekurang-kurangnya 38 orang lagi terbunuh akibat tembakan tentera Israel pada Jumaat, termasuk 12 yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan.
Tentera rejim berhasrat untuk menguasai Bandar Gaza dan kem pelarian berdekatan di beberapa bahagian paling padat penduduk di wilayah itu yang telah musnah akibat perang selama lebih 22 bulan.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, penduduk Gaza telah memberitahu, serangan udara yang lebih kerap menyasarkan kawasan perumahan dan awal minggu ini Kumpulan Hamas mengecam pencerobohan agresif Israel di kawasan tersebut. - AFP