fb fb fb fb fb

Sindiket penipuan siber: 10 warga Korea Selatan ditahan, dua diselamatkan di Kemboja

Pengarah Pejabat Penyiasatan Nasional, Park Sung-joo (kanan)/AFP

SEOUL, 20 Oktober- 10 warga Korea Selatan ditahan dan dua lagi diselamatkan di Kemboja kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan siber, menurut Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun pada Isnin.

Penahanan itu berlaku beberapa hari selepas 64 warga Korea Selatan lain dihantar pulang kerana didakwa terbabit dalam operasi penipuan berskala besar.

Menurut pihak berkuasa, industri penipuan bernilai berbilion dolar di Kemboja melibatkan kira-kira 200,000 pekerja, termasuk sekitar 1,000 warga Korea Selatan.

Sebahagian terlibat secara sukarela manakala yang lain dipaksa di bawah ancaman keganasan untuk melaksanakan skim penipuan “pig butchering” atau penipuan percintaan.

Individu yang dihantar pulang dikawal rapi sepanjang perjalanan manakala pihak polis Korea Selatan sedang menjejaki 59 lagi yang berpotensi diambil tindakan serta 80 warga Korea Selatan masih hilang di Kemboja.

Kejadian tersebut mencetuskan kemarahan awam susulan pembunuhan pelajar kolej Korea Selatan di Kemboja, dipercayai oleh kumpulan jenayah.

Pegawai Korea Selatan baru-baru ini bertemu dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan polis tempatan bagi membincangkan isu pusat penipuan dan pekerjaan palsu.

Menurut Pengarah Pejabat Penyiasatan Nasional, Park Sung-joo, mereka yang dihantar pulang terlibat dalam jenayah seperti penipuan suara, penipuan percintaan dan skim “no-show”.

Penasihat Keselamatan Nasional, Wi Sung-lac, menambah bahawa kumpulan terbabit terdiri daripada peserta sukarela dan yang terpaksa. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM