BENGALURU, 1 Disember- Siklon Fengal yang melanda pantai selatan India meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa namun ia tidak menyebabkan kerosakan ketara, kata pegawai bertugas.
Siklon Fengal melanda pada Sabtu membawa angin berkelajuan 70-80 kilometer sejam.
Tiga individu berkenaan terkena renjatan elektrik di Chennai, kata Menteri Pengurusan Bencana India KKSSR Ramachandran kepada pemberita pada Sabtu.
Tetapi kerosakan akibat siklon berkenaan adalah "minimum", tambahnya.
Walaupun Siklon Fengal dijangka beransur-ansur perlahan pada Ahad namun Biro Cuaca India memberi amaran hujan lebat dijangka melanda beberapa bahagian selatan India.
Bagaimanapun nelayan dinasihatkan untuk menangguhkan operasi penangkapan ikan berikutan "risiko banjir kilat" di beberapa kawasan.
Sementara itu Siklon Fengal yang melanda pantai Sri Lanka awal minggu ini, meragut nyawa 12 individu termasuk enam kanak-kanak.
Dalam pada itu para saintis mengeluarkan amaran bahawa ribut menjadi lebih kuat apabila dunia semakin panas akibat perubahan iklim yang didorong oleh pembakaran bahan api fosil.
Permukaan lautan lebih panas mengeluarkan banyak wap air yang turut menyumbang kepada tenaga tambahan untuk ribut serta menguatkan angin.
Suasana yang memanas juga membolehkan ia menampung lebih banyak air dan meningkatkan hujan.
Namun ramalan lebih baik dan perancangan pemindahan lebih berkesan dilihat akan mengurangkan angka kematian.- AFP