fb fb fb fb fb

Sidang kemuncak pemimpin Arab bincang pembangunan semula Gaza

Foto Istana Diraja Saudi / AFP

RIYADH, 22 Februari- Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak peringkat tinggi di Riyadh pada Jumaat yang menghimpunkan pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Raja Jordan Raja Abdullah II dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, lapor media Kerajaan Saudi.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), saluran berita kerajaan Al-Ekhbariya berkongsi gambar para pemimpin di platform X, menggambarkan pertemuan itu sebagai satu "perjumpaan mesra dan persaudaraan" antara Putera Mahkota Arab Saudi, pemimpin GCC, Raja Jordan dan Presiden Mesir.

Mesyuarat ini diadakan pada waktu yang kritikal bagi rantau itu, di tengah laporan mengenai rancangan bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan mengambil alih wilayah berkenaan.

Trump berulang kali mencadangkan idea untuk "menguasai" Gaza serta merancang pemindahan penduduknya, dengan cadangan membangunkan semula kawasan itu sebagai "Riviera Timur Tengah."

Cadangan itu menerima kecaman meluas dari dunia Arab dan negara lain, yang menyifatkannya sebagai pembersihan etnik.

Pada 16 Februari, Presiden al-Sisi menegaskan bahawa Mesir sedang menyediakan pelan komprehensif untuk membangunkan semula Gaza tanpa memindahkan penduduknya.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), sidang kemuncak ini merupakan sebahagian daripada tradisi pertemuan tidak rasmi berkala antara pemimpin GCC, Mesir dan Jordan.

SPA turut menekankan bahawa pertemuan ini mencerminkan hubungan erat antara para pemimpin, bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dan penyelarasan serantau.

Sebarang keputusan mengenai tindakan bersama dunia Arab akan dibincangkan dalam sidang kemuncak tergempar Liga Arab yang dijadualkan berlangsung di Mesir pada Mac depan, kata agensi itu.- BERNAMA-ANADOLU

ROSLINA BINTI DIN