NORRESUNDBY, 29 September - Denmark mengharamkan sementara penerbangan dron milik orang awam, menjelang Sidang Kemuncak Copenhagen minggu ini.
Pihak berkuasa menegaskan, dron dikesan berlegar sekitar beberapa pangkalan tentera pada hujung minggu.
Sebelum ini kelibat dron turut dikesan di beberapa lapangan terbang yang mengakibatkan operasi penerbangan dihentikan.
Terdahulu, lapangan terbang Copenhagen ditutup hampir empat jam berikutan perkara sama.
Dalam satu kenyataan, tentera Denmark menyatakan aset digerakkan sebagai tindak balas terhadap penemuan dron di kem tentera, namun tiada butiran lanjut diberikan.
Kerajaan menyifatkan penggunaan dron itu sebagai sebahagian daripada 'serangan hibrid'.
Namun, belum dinyatakan secara jelas siapa yang dipercayai bertanggungjawab.
Perdana Menteri Mette Frederiksen mendakwa ia mungkin berpunca dari Moscow.
"Rusia negara utama yang menimbulkan ancaman terhadap keselamatan Eropah," katanya.
Bagaimanapun Kremlin menafikan sebarang tuduhan tersebut.
Di bawah sekatan itu, dron awam akan diharamkan dari ruang udara Denmark bermula Isnin hingga Jumaat pada minggu depan.
Denmark menjadi tuan rumah kepada pemimpin Eropah minggu ini, selaku Presiden Kesatuan Eropah (EU) yang dijawat secara bergilir.
Menteri pertahanan Denmark mengambil maklum situasi keselamatan semasa yang disifatkan sukar.
Menerusi kenyataan selepas pengumuman larangan tersebut, beliau berkata negara itu perlu membantu angkatan tentera dan pihak polis untuk memastikan keselamatan semasa persidangan EU.
Jerman turut menggerakkan pasukan khas untuk membantu memantau ruang udara Copenhagen sepanjang sidang kemuncak berlangsung. - REUTERS