GAZA, 30 September - 10 lagi rakyat Palestin terbunuh dan puluhan cedera akibat serangan Zionis Israel di Semenanjung Gaza, lapor media tempatan.
Pasukan pertahanan awam Palestin menemukan mayat sembilan mangsa di Jalan Al-Nasr, Bandar Gaza.
Tentera Israel turut menyasarkan kawasan sekitar Kompleks Perubatan Al-Shifa di bandar yang sama.
Akses ke hospital tersebut dihalang sebagai sebahagian daripada usaha mengepung kawasan itu dan memaksa penduduk berpindah ke arah selatan.
Tentera Zionis turut mengebom kenderaan di kem pelarian Shati, lokasi puluhan penduduk terbunuh akibat serangan udara dan darat yang berterusan sejak beberapa hari lalu.
Tindakan zalim itu bertujuan menawan sepenuhnya bandar Gaza.
Sementara itu di bahagian tengah Gaza, seorang terbunuh dan sembilan lagi cedera selepas tentera Israel menyerang sebuah khemah yang menempatkan pelarian Palestin di utara kem pelarian Nuseirat.
Tentera negara haram itu telah membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak sejak perang tercetus pada Oktober 2023.
Pengeboman tanpa henti mengakibatkan wilayah itu tidak lagi boleh didiami, sekali gus menyumbang kepada kebuluran dan penularan penyakit. - REUTERS