fb fb fb fb fb

Korea Utara tidak akan tinggalkan program nuklear

Kim Son Gyong/ REUTERS

NEW YORK, 30 September - Korea Utara menegaskan tidak akan sesekali meninggalkan program nuklearnya, dengan menyifatkan tuntutan agar negara itu melucutkan senjata nuklear sebagai tindakan yang menafikan kedaulatan serta hak untuk terus wujud.

Timbalan Menteri Luar Korea Utara, Kim Son Gyong berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York. Ia merupakan kali pertama pegawai dari Pyongyang menghadiri perhimpunan tahunan itu sejak 2018.

"Pemaksaan agenda 'denuclearization' terhadap Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) adalah bersamaan dengan menuntut negara kami menyerah kedaulatan dan hak untuk wujud, sekali gus melanggar perlembagaan negara.

"Kami tidak akan sesekali menyerahkan kedaulatan, mengabaikan hak untuk wujud, atau melanggar perlembagaan," tegasnya.

Menurutnya lagi, peningkatan keupayaan pertahanan fizikal negara itu adalah seiring dengan ancaman pencerobohan daripada Amerika Syarikat dan sekutunya, yang kini mampu mengekang niat musuh untuk mencetuskan perang di Semenanjung Korea.

Kenyataan itu hadir susulan gesaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, bulan lalu yang menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tahun ini.

Namun, sejak Trump memulakan penggal baharunya pada Januari, Pyongyang dilihat enggan menyambung semula rundingan diplomatik yang pernah diusahakan antara 2017 hingga 2021, yang gagal mencapai sebarang persetujuan mengenai pelucutan senjata nuklear.

Minggu lalu, Kim Jong Un dilaporkan menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan dengan Washington sekiranya Amerika Syarikat berhenti mendesak agar Korea Utara meninggalkan senjata nuklear. Namun, beliau menegaskan Korea Utara tidak akan mengorbankan program nuklearnya semata-mata untuk menamatkan sekatan antarabangsa.

"Kami tidak akan pernah meninggalkan program nuklear yang menjadi undang-undang negara, dasar nasional, kuasa berdaulat serta hak untuk wujud – dalam apa jua keadaan sekalipun," tegas Kim Son Gyong di hadapan Perhimpunan Agung PBB.

Majlis Keselamatan PBB telah mengenakan sekatan terhadap Korea Utara sejak 2006, yang diperketatkan dari semasa ke semasa bagi menghalang pembangunan senjata nuklear dan peluru berpandu balistik negara itu.

Namun, Rusia dan China kini mendesak agar sekatan terhadap Pyongyang dilonggarkan atas alasan kemanusiaan dan sebagai usaha memujuk Korea Utara kembali ke meja rundingan.

Rusia juga dilihat memperkukuh hubungan diplomatik dan ketenteraan dengan Pyongyang susulan konflik dengan Ukraine pada Februari 2022, dengan kedua-dua pemimpin – Presiden Vladimir Putin dan Kim Jong Un – saling melakukan lawatan rasmi ke negara masing-masing.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI