fb fb fb fb fb

Kanada mahu kerjasama multilateral, tolak pendekatan tertutup

Anita Anand/ REUTERS

NEW YORK, 30 September - Menteri Luar Kanada, Anita Anand menegaskan bahawa negara itu tidak akan berpaling daripada kerjasama antarabangsa, sebaliknya terus komited terhadap pendekatan multilateral dalam menangani cabaran global.

Beliau menyatakan bahawa Kanada tidak akan bersikap tertutup atau meminggirkan peranan global negara itu.

"Berundur bukanlah pilihan. Kanada tidak akan berpaling. Kami sedia bekerjasama dengan semua negara anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB di sini.

Beliau berkata, dunia kini berdepan realiti baharu dengan peningkatan unilateralisme dan proteksonisme yang semakin melemahkan institusi multilateral serta kedaulatan undang-undang — asas utama kepada sistem dunia pascaperang.

Walaupun tidak menyebut secara langsung Amerika Syarikat atau Presiden Donald Trump, kenyataan Anand itu dilihat sebagai reaksi terhadap pendekatan unilateral yang semakin ketara dalam geopolitik semasa.

Sementara itu, Trump dalam wawancara bersama Reuters pada Ahad (28 September) mengkritik keras keputusan beberapa sekutu utama AS — termasuk Britain, Perancis, Kanada, Australia dan beberapa negara lain — yang mengiktiraf kenegaraan Palestin, menyifatkannya sebagai 'keputusan memalukan'.

Mengulas perkara itu, Anand menegaskan pendirian Kanada konsisten dengan dasar luar jangka panjang yang menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta komitmen terhadap penyelesaian dua negara.

"Pengiktirafan Kanada terhadap Palestin minggu lalu mencerminkan dasar lama kami yang berasaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka dan komitmen terhadap penyelesaian dua wilayah itu," jelasnya.

Anand menutup ucapannya dengan komitmen bahawa Kanada akan terus memperjuangkan dunia yang lebih makmur, aman dan inklusif.

"Kanada akan terus berusaha ke arah dunia di mana kemakmuran dikongsi bersama, keselamatan bersifat kolektif dan keamanan berkekalan," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI