SIDOARJO, 30 September - Sekurang-kurangnya seorang maut manakala puluhan lagi cedera selepas sebuah bangunan di Pondok Pesantren Al Khoziny, di sini pada Isnin.
Menurut laporan Agensi Berita Antara, lebih 100 pelajar sedang berkumpul bagi menunaikan solat Asar namun bangunan bertingkat berkenaan tiba-tiba runtuh.
Jurucakap Polis Jawa Timur, Jules Abraham Abast berkata, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan sekurang-kurangnya 79 mangsa daripada runtuhan di kawasan itu.
"Sekurang-kurangnya seorang mangsa disahkan meninggal dunia berdasarkan maklumat daripada pihak hospital," katanya kepada pemberita, tanpa mengulas lanjut mengenai butiran mangsa.
Tambahnya, pihak berkuasa masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
"Kami bersama agensi berkaitan sedang berhubung rapat dengan semua pihak, termasuk pengurusan pondok, bagi menentukan jumlah sebenar mangsa yang mungkin masih terperangkap," jelasnya.
Sementara itu, salah seorang pengurusan pondok, Abdus Salam Mujib, memaklumkan bangunan itu runtuh selepas pekerja menyiapkan kerja menuang konkrit bagi tingkat tiga.
"Bangunan itu sepatutnya mempunyai empat tingkat dengan bumbung rata, namun hanya tiga tingkat siap dibina," katanya.
Beliau menjelaskan, tingkat atas dirancang sebagai ruang kelas dan aktiviti pelajar, manakala tingkat bawah sudah digunakan sebagai surau.
Runtuhan bangunan itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap standard pembinaan di Indonesia yang sering dikaitkan dengan insiden seumpama itu.
Awal bulan ini, sekurang-kurangnya tiga maut dan puluhan cedera apabila sebuah bangunan yang digunakan untuk majlis bacaan doa runtuh di Jawa Barat.
Pada 2018, tujuh orang termasuk remaja yang sedang membuat latihan persembahan muzik terbunuh apabila bangunan yang mereka diami runtuh di Cirebon, timur Jakarta.
Tahun sama, sekurang-kurangnya 75 cedera apabila tingkat mezanin di Bangunan Bursa Saham Indonesia di Jakarta runtuh ke ruang lobi utama.- AFP