GAZA, 30 September - Seorang aktivis yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza melihat dua kapal tentera dipercayai milik Turkiye sedang mengiringi kumpulan kapal yang membawa bantuan ke wilayah itu.
Aktivis berkenaan, Davut Daskiran, berkongsi rakaman video kapal tersebut di laman media sosial X, sambil meluahkan rasa bangga apabila Turkiye menyertai Itali dan Sepanyol dalam mengiringi pelayaran GSF ke Gaza.
Sebelum ini, laman penjejak penerbangan melaporkan tiga dron jarak jauh yang berlepas dari Pangkalan Udara Çorlu, Turkiye, telah berlegar di ruang udara kapal-kapal berkenaan selama tiga hari berturut-turut — mencerminkan peningkatan perhatian antarabangsa terhadap kumpulan kapal yang berikrar untuk menembusi sekatan laut Israel di sekitar Gaza.
Setakat ini, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Turkiye belum memberikan sebarang maklum balas berhubung laporan tersebut.
GSF itu terdiri daripada kapal awam yang membawa aktivis kemanusiaan pelbagai latar belakang termasuk Greta Thunberg, aktivis iklim terkenal dari Sweden.
Menurut laporan dari atas kapal, kapal itu kini masih berada ratusan batu nautika dari pesisir Gaza, namun sedang menghampiri kawasan yang pernah dipintas tentera Israel sebelum ini.
Data daripada laman penjejak turut menunjukkan sekitar 40 kapal terlibat dalam pelayaran kali ini.
Sementara itu, rakaman video yang dikongsi Daskiran menunjukkan dua kapal tentera yang sepadan dengan imej fail kapal tentera Turkiye, namun nombor pengenalan dan bendera pada kapal terbabit tidak dapat dipastikan sepenuhnya ekoran resolusi video rendah.- REUTERS