WASHINGTON, 30 September - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di White House pada Isnin bagi mengadakan rundingan penting berhubung pelan damai Gaza yang bertujuan menamatkan perang hampir dua tahun antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas.
Pelan damai yang diumumkan White House pada hari sama mencadangkan penghentian segera konflik antara Israel dan Hamas, serta pemulangan semua tebusan, sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia, dalam tempoh 72 jam selepas Israel secara rasmi menerima cadangan tersebut.
Menurut draf pelan itu, perang akan ditamatkan serta-merta sekiranya kedua-dua pihak bersetuju, dan tentera Israel akan berundur ke garisan yang dipersetujui sebagai persediaan untuk proses pembebasan tebusan.
Sebaik semua tebusan dibebaskan, Israel pula akan membebaskan 250 tahanan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup serta 1,700 penduduk Gaza yang ditahan selepas perang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Beberapa pemimpin dunia turut mengiktiraf Palestin termasuk Britain, Australia dan Kanada yang menyatakan perkara itu minggu lalu.
Pada 25 September, Trump membentangkan pelan damai 21 perkara kepada pemimpin Arab yang antara lain menyeru gencatan senjata kekal di Gaza, pembebasan semua tawanan Israel, pemerintahan Gaza tanpa Hamas serta pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari wilayah itu, menurut beberapa laporan media.
Pemimpin Arab menyokong sebahagian besar pelan itu namun meminta beberapa penambahan, termasuk jaminan menentang rancangan pengilhakan Tebing Barat, mengekalkan status quo Baitulmuqaddis, meningkatkan bantuan kemanusiaan serta menangani isu penempatan Israel, menurut diplomat serantau kepada CNN.
Tentera Israel telah membunuh hampir 66,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di Gaza sejak Oktober 2023.
Pengeboman tanpa henti itu telah menjadikan wilayah berkenaan tidak dapat didiami serta mengakibatkan kebuluran dan penularan penyakit.- REUTERS